Utusan Borneo (Sarawak)

Hati-hati kutipan zakat fitrah tidak bertauliah di Kedah: LZNK

-

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengesan kegiatan kutipan zakat fitrah oleh amil tidak bertauliah yang menggunaka­n resit cetakan sendiri sama ada dikeluarka­n oleh surau, sekolah dan parti politik di Pendang, Sungai Petani dan Baling baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, kegiatan itu dikesan di sebuah surau di Sungai Petani dan tiga aduan lagi membabitka­n sebuah pertubuhan parti politik di Pendang dan masing-masing satu di sebuah sekolah aliran agama di Pendang dan satu lagi di Baling.

Katanya, ia berdasarka­n aduan orang ramai dan siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Pengurusan Fitrah, Jabatan Pengurusan Zakat Harta LZNK yang turun menjalanka­n pemantauan dan penyamaran.

“Pasukan penyiasat seramai lima orang ini membuat tinjauan di beberapa daerah dan mendapati sebuah surau di Sungai Petani yang mengutip zakat fitrah menggunaka­n resit sendiri. Bagi resit yang dikeluarka­n oleh parti politik, masih lagi dalam peringkat siasatan kerana LZNK hanya menerima aduan melalui gambar resit fitrah tertera logo parti politik di Pendang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Katanya, perbuatan amil tidak bertauliah itu adalah melanggar titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddi­n Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang menitahkan supaya seluruh umat Islam di Kedah menunaikan zakat harta dan zakat fitrah kepada ulil amri melalui LZNK yang menjadi wakil Baginda bagi tujuan mengutip dan mengagih zakat di Negeri Kedah.

Syeikh Zakaria juga berkata, amil yang mengutip zakat secara persendiri­an ini juga membuka ruang dan peluang kepada penyelewen­gan dan pengagihan zakat secara tidak tepat dan tidak menepati golongan asnaf.

Berikutan itu, pihak LZNK akan mengadakan perbincang­an bersama Bahagian Penguatkua­saan, Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (JAIK) bagi mendakwa pihak yang terlibat mengikut Seksyen 9, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah Darul Aman berkaitan dengan pelanggara­n titah Sultan Kedah.

Pihaknya juga akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa sehingga menjelang 1 Syawal bagi membantera­s kegiatan ini daripada terus berlarutan.

Beliau menyaranka­n agar penduduk di negeri ini termasuk yang akan pulang dari perantauan agar melunaskan zakat fitrah kepada 3,200 orang amil rasmi yang dilantik di masjid- masjid atau terus ke Pejabat Zakat Daerah (PZD) terdekat atau secara dalam talian di laman http://jom.zakatkedah.com. my. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia