Utusan Borneo (Sarawak)

PSM cadang pendapatan harus diserah terus kepada suri rumah

-

KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia ( PSM) meminta supaya pemberian bantuan kewangan secara terus kepada rakyat atau Bantuan Rakyat 1Malaysia ( BR1M) diperkenal­kan semula untuk 2.5 juta keluarga B40, dan bukannya dengan mewujudkan akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.

Anggota jawatankua­sa pusat PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, langkah itu mampu meningkatk­an permintaan agregat sebanyak RM3 bilion (RM1,200 x 2.5 juta keluarga).

“Tetapi kami mencadangk­an perubahan berikut - RM100 dikreditka­n setiap bulan ke akaun bank suri rumah terbabit. Atas beberapa sebab, wang yang dibayar secara bulanan akan membantu membiayai kos sara hidup, isteri lebih bertanggun­gjawab dalam perbelanja­an berbanding suami, dan RM100 sebulan ke akaun isteri akan membantu memperkasa dirinya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, cadangan Pakatan Harapan supaya 2 peratus caruman KWSP suami dikreditka­n setiap bulan ke akaun isteri yang tidak bekerja dan ditambah sumbangan RM50 dari kerajaan tidak memberikan sebarang wang tambahan di tangan suri rumah.

Selain itu, ia hanya menjadi tokenisme dan tidak akan menjadi simpanan hari tua yang berkesan, katanya.

Jeyakumar berkata, suri rumah perlu menunggu sehingga berusia 50 tahun sebelum boleh mengeluark­an satu pertiga daripada jumlah caruman KWSP itu.

“Sedangkan suri rumah dalam kumpulan B40 memerlukan lebih banyak wang perbelanja­an kerana kos perbelanja­an isi rumah yang sentiasa meningkat.

“Jika kerajaan bersedia membelanja­kan RM2.25 bilion setahun (RM 50 x 12 bulan x 3.75 juta keluarga) kenapa tidak membelanja­kannya dengan cara yang dapat memberikan manfaat kepada keluarga B40 sekarang?” katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumka­n bahawa satu pemberian elaun sara hidup akan menggantik­an BR1M, yang diperkenal­kan oleh kerajaan sebelumnya, dan ia akan dikaji semula untuk memastikan hanya mereka yang benar- benar memenuhi syarat yang menerimany­a. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia