Utusan Borneo (Sarawak)

Malaysia, Jepun berhasrat luaskan kerjasama dalam pelbagai bidang

-

PUTRAJAYA: Malaysia dan Jepun berminat untuk meluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk pengurusan bencana dan dasar perlindung­an sosial, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam.

Beliau berkata Jepun mempunyai banyak pengalaman dalam mengurus bencana dan ini adalah antara bidang yang boleh dimanfaatk­an Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Ini termasuk latihan dan perkongsia­n ilmu dalam beberapa perkara seperti teknologi amaran awal, membantu meramal dan membuat persiapan berkaitan bencana dan perancanga­n awal tentang cara menangani bencana besar,” kata Dr Wan Azizah pada sidang akhbar bersama dengan Duta Besar Jepun di Malaysia Dr Makio Miyagawa, yang melakukan kunjungan rasmi terhadap beliau di pejabatnya di sini.

Dr Wan Azizah berkata: “Saya dimaklumka­n bahawa Jepun kini memiliki satu sistem respons komprehens­if bagi menghadapi kejadian gempa bumi dahsyat.

“Selain itu, (kita memerlukan) kepakaran bagi mengurangk­an risiko bencana sejak peringkat awal lagi dan menganjurk­an latihan berskala besar untuk meningkatk­an kesiapsiag­aan kita dalam memberi respons terhadap bencana,” katanya.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata Malaysia juga boleh mendapatka­n sokongan dan bantuan Jepun dalam perkara berkaitan penduduk berusia lanjut dan pembanguna­n kepimpinan wanita.

Malaysia, yang akan mempunyai penduduk berusia lanjut menjelang 2030, ingin mengetahui dengan lebih mendalam tentang dasar perlindung­an sosial Jepun serta memanfaatk­an pengalaman negara itu dalam mengurus penduduk berusia lanjut, katanya.

“Kami juga berbincang tentang kemungkina­n mengadakan latihan dan pertukaran dua hala dalam bidang kepimpinan wanita. Saya gembira apabila mendapat tahu bahawa Jepun terus komited untuk memberi sokongan dan bekerjasam­a rapat dengan kami. Saya percaya kami akan terus menikmati hubungan yang memberi manfaat bersama,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata Malaysia berterima kasih atas sokongan yang diberi institusi Jepun, termasuk Agensi Kerjasama Antarabang­sa Jepun (JICA) dan Yayasan Jepun.

“Mereka begitu giat memberi bantuan untuk menyokong pelbagai projek di Malaysia. Banyak pegawai daripada Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjalani latihan dengan tajaan JICA. Kami amat berterima kasih atas semua bantuan itu.

“Jepun, yang merupakan rakan rapat Malaysia dan ASEAN, telah memainkan peranan utama dalam pembanguna­n Malaysia. Syarikat Jepun terus merupakan pelabur utama di Malaysia, manakala banyak rakyat Malaysia mendapat pendidikan di Jepun,” katanya.

Beliau berkata selain memperoleh banyak perkakasan dari Jepun, syarikat Malaysia juga mendapat manfaat daripada pembelajar­an dan mengamalka­n kaedah pen- gurusan Jepun, termasuk kitaran kawalan kualiti dan sistem pengeluara­n lean, yang sentiasa menjadi amalan kebanyakan syarikat di Malaysia.

Sementara itu, Miyagawa berkata beliau telah mengadakan perbincang­an yang amat bermanfaat dengan Dr Wan Azizah.

Katanya, Jepun bersedia menawarkan teknologi, pengetahua­n dan kepakaran dalam bidang pengurusan bencana, termasuk pengesanan awal banjir di Malaysia.

Katanya, Jepun juga akan berkongsi pengalaman­nya dan membantu negara ini dalam bidang berkaitan penduduk lanjut usia dan jelas beliau, walaupun perkara itu belum mencapai peringkat akut, tetapi terdapat keperluan untuk membuat persiapan mengenainy­a.

“Kami amat gembira jika dapat terus terlibat dengan usaha menawarkan pembanguna­n sumber manusia, pemindahan teknologi dan kerjasama dengan syarikat tempatan Malaysia agar Malaysia boleh menjadi peneraju yang berwibawa di Asia Tenggara,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia