Utusan Borneo (Sarawak)

59 rumah di SPU rosak akibat dilanda ribut

-

SEBERANG PERAI: Kemeriahan Syawal penduduk di daerah Seberang Perai Utara terjejas selepas dilanda ribut, mengakibat­kan 59 kediaman mengalami kerosakan kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku jam 6.45 petang, angin kencang dan hujan lebat selama lebih sejam telah mengakibat­kan bumbung rumah penduduk diterbangk­an angin kencang dan bekalan elektrik terputus.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata antara kawasan yang terlibat adalah di Butterwort­h, Tasek Gelugor, Teluk Air Tawar, Mak Mandin, Sungai Dua, Kepala Batas dan Seri Pinang.

Beliau berkata pihak polis menerima laporan 59 rumah rosak pada bahagian bumbung dalam kejadian kelmarin.

“Kawasan yang paling teruk dilanda ribut semalam (kelmarin) adalah di Teluk Air Tawar iaitu 13 rumah mengalami kerosakan manakala Sungai Dua mempunyai 12 kes, Tasek Gelugor 11 kes, Kepala Batas sembilan kes, Mak Mandin enam kes, Butteworth lima kes dan Seri Pinang tiga kes dilaporkan,” katanya di sini semalam.

Tambahnya, Balai Polis Sungai Dua turut mengalami kerosakan kecil akibat angin kencang dan sebuah bank di Jalan Raja Uda turut dilaporkan mengalami kerosakan di cermin hadapan premis.

Noorzainy berkata polis turut menerima laporan mengenai kejadian seorang lelaki yang cedera dihempap sebatang pokok ketika menunggang motosikal di Jalan Lubuk Meriam, Tasek Gel- ugor kelmarin.

“Mangsa telah digegaskan ke Hospital Kepala Batas untuk mendapatka­n rawatan sebelum dirujuk ke Hosital Seberang Jaya dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Beliau berkata setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan akibat hujan lebat dan angin kencang yang melanda daerah Seberang Perai Utara.

“Mujurlah tiada sebarang kemalangan jiwa dalam kejadian itu dan pada masa ini keadaan cuaca baik,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia