Utusan Borneo (Sarawak)

Pemandu SUV dikejar peronda sempadan AS hilang kawalan, lima terbunuh

-

WASHINGTON: Lima pendatang haram meninggal dunia dan beberapa orang lagi tercedera kelmarin selepas satu kejadian kejar-mengejar berkelajua­n tinggi dengan beberapa ejen peronda sempadan di Texas berakhir dalam nahas, lapor media tempatan.

Nahas berlaku di bandar Big Wells di luar San Antonio selepas beberapa ejen peronda sempadan cuba menahan pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda (SUV), lapor saluran televisyen ABC, KSAT.

Seramai 14 orang berada di dalam kenderaan itu, termasuk pemandu, yang tidak mengalami kecederaan serius.

Ia memetik Syerif Bahagian Dimmit Marion Boyd sebagai berkata pemandu itu memandu dengan kelajuan 100 batu sejam ketika cuba melepaskan diri daripada pihak berkuasa.

Ketika bergerak dengan kelajuan tinggi, pemandu tersebut hilang kawalan terhadap SUV, yang terbalik, menyebabka­n kematian dan kecederaan, Jabatan Keselamata­n Awam Texas dipetik sebagai berkata.

Pemandu SUV itu sudah ditahan oleh beberapa ejen Keselamata­n Dalam Negeri, KSAT memetik pihak berkuasa sebagai berkata.

Empat penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia di hospital. Mereka yang tercedera sudah dibawa ke hospital bagi mendapatka­n rawatan.

Nahas maut itu berlaku ketika Amerika Syarikat bergelut dengan krisis yang berpusar mengenai pendatang haram yang telah melihat hampir 2,000 kanak-kanak terpisah daripada ibu bapa mereka sepanjang tempoh selama enam minggu barubaru ini. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia