Utusan Borneo (Sarawak)

Disyaki rompak gadis, lelaki ditahan reman tujuh hari

-

MIRI: Seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki melakukan rompakan bersenjata ke atas seorang gadis diperintah­kan Mahkamah Majistret supaya direman tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Suspek, 36, dari Tudan Fasa 6 di sini diperintah­kan menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu menurut keterangan pegawai penyiasat Inspektor Fredly Juing ketika mengemukak­an permohonan reman memberitah­u, pada 15 Mei lalu seorang pekerja di sebuah pusat beli-belah di sini membuat laporan di Balai Polis Lutong.

Dalam aduannya, pengadu, 20, mendakwa sekitar jam 8.40 pagi hari sama, semasa dalam perjalanan dari rumahnya di Jalan Jati 2B Desa Senadin menuju ke perhentian bas, tiba-tiba seorang lelaki yang memakai helmet keluar dari sebuah kereta lalu meluru ke arahnya.

Lelaki itu yang bersenjata­kan sebilah pisau mengugut pengadu supaya menyerahka­n telefon bimbit dan dompetnya dan serentak itu pengadu menjerit.

Melihat keadaan itu, lelaki terbabit mencengkam pengadu dari belakang sebelum menghempas­nya hingga menyebabka­n dia terjatuh dan ketika itu, lelaki terbabit merampas telefon bimbitnya sebelum melarikan diri dengan menaiki kenderaan tersebut.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 2 pagi, 17 Jun lalu di sebuah rumah di Jalan Perdana 3A Tudan di sini, sepasukan polis diketuai ASP Unang Giang telah berjaya menangkap seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes ini.

Dalam permohonan lanjutnya, Fredly memberitah­u reman tujuh hari ke atas suspek amat diperlukan untuk membolehka­n polis melengkapk­an kertas siasatan.

Tambahan pula polis masih memerlukan masa untuk mengesan senjata tajam yang digunakan suspek dalam kes ini.

Pendaftar Mahkamah Rendah Brian Bryan Mason yang mendengar kes itu membenarka­n permohonan tersebut dan memerintah­kan tertuduh direman tujuh hari sehingga 24 Jun ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia