Utusan Borneo (Sarawak)

Perancis perlu tingkatkan kecekapan barisan pertahanan: Varane

-

ISTRA: Perancis perlu memperting­katkan intensiti liputan pertahanan mereka apabila mereka menentang Peru dalam perlawanan kedua mereka dalam Kumpulan C, kata pemain pertahanan Raphael Varane semalam.

Perancis bergelut untuk mengekang pasukan Australia dalam perlawanan pertama mereka sebelum mereka menang 2- 1 dengan bantuan tendangan penalti pertama di Piala Dunia yang dianugerah­kan selepas tontonan semula video serta gol Paul Pogba.

“Ada perkara yang tidak dibuat dengan baik (dalam perlawanan pertama),” kata Varane di satu sidang akhbar.

“Kami tahu bahawa kami perlu bertahan dengan intensiti yang lebih, lebih-lebih lagi bertahan bersama.”

Varane memberi amaran bahawa Perancis tidak harus bersikap sambil lewa dalam perlawanan menentang Peru esok (Khamis) di Yekaterinb­urg, sebuah pasukan yang kelihatan cergas dan bersemanga­t walaupun tewas 1-0 kepada Denmark.

“Kita masih pada permulaan pertanding­an,” kata Varane.

“Kita tidak harus mendramaka­n situasi walaupun kita perlu sedar tentang perkara yang tidak berjalan dengan begitu lancar dalam perlawanan terakhir.”

Pemain pertahanan tengah Real Madrid itu berkata per- lawanan sukar menentang Australia telah mencetuska­n perbincang­an di kalangan pasukan tentang cara untuk memperbaik­i permainan bila menentang Peru nanti.

“Kami sudah membuat penilaian kami,” katanya. “Kami sudah berbincang di kalangan pemain. Kami sudah berbincang dengan jurulatih. Kami tahu ke mana kami mahu pergi untuk perlawanan seterusnya.”

Perancis acapkali berhadapan dengan kesukaran apabila menentang pasukan dari Amerika Selatan, termasuk tewas 3-2 di negara sendiri kepada Colombia dalam satu perlawanan pada Mac lalu. — Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia