Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan negeri sedia bantu Orang Asli Kuala Masai

-

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri bersedia membantu penduduk Orang Asli dari Kuala Masai di sini yang dibelenggu pelbagai isu pampasan berkenaan tanah mereka sejak 2010.

Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata kesediaan itu termasuk mengkaji kronologi kes (pampasan) agar kerajaan negeri memahami situasi sebenar.

“Sekarang ini, saya tidak nampak lagi kronologi tetapi kalau sudah dapat, saya akan memperhalu­sinya untuk melihat apakah keperluan golongan ini dan mengapa kerajaan lama (Barisan Nasional) tidak memenuhiny­a walaupun mahkamah sudah mengarahka­n pampasan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar semalam yang menyatakan seramai 320 penduduk masih menunggu pampasan mereka setelah diarahkan berpindah dari Kampung Orang Asli Stulang Laut di sini ke Kampung Orang Asli Kuala Masai pada 1993.

Terdahulu, mereka telah memfailkan saman berhubung kes itu dengan menamakan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru serta Jabatan Hal Ehwal Orang Asli sebagai defendan.

Pada September 2010, mereka memenangi kes terbabit di Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan ketiga-tiganya telah diarah untuk memberikan hak ke atas tanah di Kuala Masai kepada komuniti itu serta menilai harga tanah mereka di Stulang Laut bagi tujuan pampasan.

Bagaimanap­un hingga kini ia tidak berlaku, kata laporan itu.

Osman berkata perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana melibatkan golongan yang berpendapa­tan rendah.

“Apapun, kita akan kaji dahulu dan jikalau perlu berjumpa, saya akan berjumpa mereka untuk meminta pandangan kerana kadang-kadang cerita di sini lain dan pihak sana lain,” katanya yang ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor Berhad (KPMNJ) di sini, semalam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia