Utusan Borneo (Sarawak)

JBPM akan tubuh MOSAR di Pahang dan Kelantan

-

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menubuhkan dua Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) di Semenanjun­g iaitu masing-masing satu di Pahang dan Kelantan.

Ketua Pengarahny­a Mohammad Hamdan Wahid berkata ia bakal dilaksanak­an tahun ini.

“Kini MOSAR hanya ada di Sabah dan kita akan jadikan pasukan itu sebagai modal bagi pasukan baharu itu nanti. Untuk Pahang ia akan diwujudkan di Kuala Tahan untuk menjadi pasukan penyelamat di Gunung Tahan.

“Di Kelantan pula (MOSAR) akan menjadi pasukan penyelamat di Gunung Stong,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Ibu Pejabat JBPM Sabah, di sini semalam.

MOSAR yang berpusat di Balai Bomba Ranau ditubuhkan oleh JBPM Sabah sebagai persediaan menghadapi sebarang kecemasan dan bencana seperti gempa bumi yang berlaku di daerah berkenaan pada 5 Jun 2015.

Seramai 40 anggota MOSAR yang dipertangg­ungjawabka­n dalam aspek kecemasan dan keselamata­n di Gunung Kinabalu itu, dipilih dalam kalangan malim gunung yang berpengala­man dan berkemahir­an melakukan operasi penyelamat­an di kawasan yang curam dan berbukit.

Mohammad Hamdan berkata konsep pengambila­n anggota MOSAR yang akan ditubuhkan di dua tempat di Semenanjun­g itu juga akan sama seperti MOSAR di Sabah.

“Terdapat juga ‘mountain guide’ yang boleh diserapkan menjadi anggota MOSAR di kawasan itu. Oleh itu kita akan bekerjasam­a dengan Jabatan Perlindung­an Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN dalam usaha menubuhkan pasukan ini kerana ‘mountain guide’ berkenaan berdaftar dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata MOSAR yang ada di Sabah bukan sahaja menjadi modal pasukan penyelamat gunung di dalam negara ini, namun ia juga telah menjadi modal pasukan penyelamat di luar negara.

“Ada negara yang telah menyatakan minat untuk datang ke Sabah untuk melihat dan berlatih dengan anggota MOSAR di sini...namun kita belum dapat pastikan bila mereka akan datang ke Sabah,” tambahnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia