Utusan Borneo (Sarawak)

Isu pembalakan Ulu Muda, ancaman kepada kawasan tadahan air akan dibincang

-

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri akan mengadakan perbincang­an dengan Kedah dan kerajaan persekutua­n berhubung isu pembalakan di Ulu Muda di Kedah, yang merupakan ancaman kepada kawasan tadahan air di Empangan Muda di situ.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kawasan tadahan air di Empangan Muda, Ulu Muda yang menyalurka­n air ke Pulau Pinang, Kedah dan Perlis itu semakin mengecil dan jika isu pembalakan tidak diatasi segera, ia akan menyebabka­n tiga negeri berkenaan menghadapi risiko krisis air serantau.

“Ulu Muda merangkumi 163,103 hektar hutan hujan di Kedah yang menadah 96 peratus air mentah Kedah, 70 peratus air mentah Perlis dan lebih 80 peratus air mentah yang telah diabstrak oleh Pulau Pinang dari Sungai Muda setiap hari.

“Ia adalah kawasan tadahan air yang paling penting di utara dan sekiranya isu pembalakan itu tidak diatasi segera, seramai 4.09 juta penduduk akan mengalami kekurangan air serta beribu-ribu perniagaan akan mengalami kerugian,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Air Sedunia 2018, di sini semalam.

Beliau berkata Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) komited terhadap kempen ‘Selamatkan Ulu Muda’ bukan hanya untuk kepentinga­n serta faedah untuk negeri itu sahaja, malah untuk Kedah dan Perlis.

Sementara itu, Chow berkata penyelesai­an terbaik bagi isu pembalakan Ulu Muda ialah dengan pemberian pampasan kepada Kedah dan kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasam­a dengan Kedah bagi memohon pampasan daripada kerajaan persekutua­n sebagai ganti ‘premium hutan’ untuk pembalakan.

Beliau berkata selain itu, pihaknya juga akan mendapatka­n bantuan kerajaan persekutua­n untuk mewarta, mengurus serta melindungi Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air serantau.

“Kini kerajaan Kedah dan kerajaan pusat di bawah Pakatan Harapan, jadi ia adalah masa yang baik untuk melihat semula isu pembalakan di Ulu Muda sebagai isu yang menjejaska­n bekalan air Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Saya akan menghantar segera surat kepada kerajaan pusat untuk membincang­kan isu ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk Jaseni Maidinsa dalam ucapannya pada majlis itu berkata kegiatan pembalakan di Ulu Muda itu turut menjejaska­n kuantiti dan kualiti air yang disimpan di Empangan Muda.

“PBAPP tidak dapat membekalka­n air terawat yang mencukupi jika kami tidak dapat mengekstra­k air mentah yang mencukupi dari Sungai Muda dan air mentah yang kita abstrak dari Sungai Muda itu berasal dari Ulu Muda.

“Jika kita tidak buat apaapa berhubung isu pembalakan itu, ia akan memberi impak yang besar dan jangka panjang terhadap krisis air serta sosio ekonomi,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia