Utusan Borneo (Sarawak)

Djokovic tamatkan kemarau final

-

LONDON, England: Novak Djokovic menamatkan kemarau ke final apabila bekas pemain nombor satu dunia itu melangkah ke final yang pertama beliau sejak setahun dengan menewaskan Jeremy Chardy 7-6(7/5) dan 6-4 pada kejohanan di Queen’s Club di sini Sabtu lepas.

Jaguh dari Serbia itu akan menentang pilihan pertama kejohanan, Marin Cilic pada final pertama beliau sejak muncul juara di Eastbourne setahun yang lepas.

Ia adalah penampilan pertama Djokovic pada final di sini sejak tewas kepada Rafael Nadal di final kejohanan yang sama pad 2008.

Final ke-99 dalam karier pemain berusia 31 tahun itu memberikan beliau peluang untuk memintas Stefan Edberg sebagai pemain di tangga kesembilan dalam jumlah keseluruha­n kemenangan perlawanan – 802 kali.

“Ia sangat menggembir­akan untuk melangkah ke final. Ia sudah agak lama sejak saya bermain di final, jadi ia sesuatu yang sangat istimewa dengan mengambil kira apa yang saya harungi,” kata Djokovic.

“Ia satu kejohanan hebat. Saya pastinya menipu jika saya berkata saya tidak mempunyai sasaran tinggi pada kejohanan di sini, jadi saya berharap saya boleh melangkah jauh.”

Ditanya bagaimana beliau akan berdepan dengan pukulan servis kencang Cilic, Djokovic berseloroh: “Saya akan bermain dengan dua raket! Satu di tangan kanan dan satu lagi di tangan kiri!”

Selepas satu tempoh yang sukar sejak terpaksa menarik diri dari Wimbledon kerana kecederaan siku tahun lepas, Djokovic mungkin sudah mencapai prestasi meyakinkan pada masa yang tepat untuk kembali semula beraksi di Wimbledon.

Beliau ketika ini berada pada ranking ke- 22 dunia selepas tewas kepada pemain tidak dikenali dari Perancis di suku akhir Terbuka Perancis. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia