Utusan Borneo (Sarawak)

Kurangkan kebergantu­ngan terhadap import benih sayuran

-

SEPANG: Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani komited membangunk­an teknologi ke arah mengurangk­an kebergantu­ngan industri pertanian terhadap import biji benih sayuran dari luar negara.

Menterinya Salahuddin Ayub berkata satu perbincang­an khusus bersama Institut Penyelidik­an dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta beberapa jabatan berkaitan akan diadakan segera bagi mencari jalan bagaimana kebergantu­ngan sehingga 90 peratus kepada benih import itu dapat dikurangka­n bagi meningkatk­an keupayaan industri pertanian tempatan serta pekebun sayur.

Beliau berkata pemerkasaa­n industri benih tempatan berupaya membantu petani memperoleh benih yang lebih murah dengan kualitinya juga setaraf yang diimport sekali gus mendorong mengurangk­an faktor yang menjadi antara sebab peningkata­n harga makanan.

“Isu benih dan keupayaan menghasilk­an hanya 10 peratus daripada keperluan biji benih didapati menjadi antara halangan pengembang­an sektor pertanian sayur yang memerlukan tumpuan segera kementeria­n.

“Dengan kepakaran MARDI dan disokong beberapa jabatan lain, kita yakin usaha menghasilk­an benih sendiri boleh dilakukan walaupun memakan sedikit masa,” katanya pada sidang media selepas melawat dan mengadakan dialog dengan pengusaha projek usahawan tani Bukit Damar, Dengkil di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Pertanian Datuk Jamal Harizan Yang Razali.

Salahuddin berkata keupayaan dalam aspek teknologi merupakan antara sebab kebergantu­ngan negara kepada import biji benih sedangkan keupayaan tempatan hanya terhad kepada penghasila­n benih sayur seperti timun, kacang panjang dan kacang buncis. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia