Utusan Borneo (Sarawak)

Polis kejar dan lepaskan tembakan sebelum tahan dua penjenayah

-

GEORGE TOWN: Dua pengedar dadah yang dikehendak­i polis ditahan di Nibong Tebal dekat sini selepas kereta yang dinaiki mereka dikejar lebih lima kilometer awal pagi semalam.

Polis juga terpaksa melepaskan beberapa das tembakan apabila dua lelaki terbabit yang turut disyaki terlibat dalam kes bunuh enggan memberhent­ikan kereta dan cuba melarikan diri selepas kereta mereka berjaya dihalang di kawasan Residensi Villa Mutiara, Simpang Ampat.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A.Thaiveegan berkata kereta dinaiki dua lelaki terbabit dikesan sepasukan polis daripada Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di kawasan Balik Pulau pada jam 5.40 pagi semalam.

“Kereta jenis Honda City itu memperlaha­nkan kenderaan dan mengekori rapat sebuah daripada kereta dinaiki pasukan polis...anggota polis itu memandu sehingga ke kawasan masjid Kampung Kepala Gajah di Simpang Ampat.

“Sebaik sampai di pekarangan masjid itu, anggota D9 berkenaan turun dari kereta dan memperkena­lkan diri sebagai polis menyebabka­n pemandu Honda City itu mengundur laju dan melanggar sebuah Myvi yang ada di situ sebelum keluar menghala ke pekan Simpang Ampat,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, polis mengekori kereta itu dan meminta pemandunya memberhent­ikan kereta namun mereka terus memecut laju menyebabka­n polis melepaskan satu das tembakan amaran ke udara tetapi suspek masih enggan berhenti dan polis melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta dinaiki mereka.

Thaiveegan berkata, pemandu kereta terbabit tetap tidak memberhent­ikan kereta dan terus memandu masuk ke kawasan Residensi Villa Mutiara dengan melanggar palang pos pengawal di situ sebelum kereta mereka dihalang oleh kenderaan polis.

“Pemandu kereta itu cuba melanggar polis sehingga memaksa kami melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta Honda City itu menyebabka­n kereta itu berhenti dan dua lelaki terbabit cuba melarikan diri dengan melompat pagar di kawasan perumahan itu. Dua lelaki berusia 38 dan 40 tahun itu berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan polis,” katanya.

Beliau berkata pemandu kereta itu yang mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan kepala dipercayai akibat terkena tembakan dihantar ke Hospital Sungai Bakap dan keadaannya dilaporkan stabil.

Polis menemui pelbagai jenis dadah antaranya syabu, ganja, heroin, ketamin dan pil eramin 5 bernilai kira-kira RM3,000 di dalam kereta dinaiki dua lelaki terbabit.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk bunuh dan dadah. Mereka yang dalam keadaan mabuk ketika ditahan itu merupakan anggota sindiket pengedaran dadah dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia