Utusan Borneo (Sarawak)

Zulfarhan Osman beritahu dia tidak ambil ‘laptop’ rakan: Saksi

-

KUALA LUMPUR: Seorang saksi dalam kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain memberitah­u Mahkamah Tinggi di sini bahawa Zulfarhan Osman menafikan dia mengambil sebuah komputer riba milik tertuduh pertama dalam kes itu.

S.Hari Krishna Rao, 22, penuntut UPNM jurusan perubatan berkata, dia dan beberapa rakannya pernah menyoal mangsa berhubung kehilangan sebuah komputer riba milik tertuduh pertama dalam kes itu tetapi mangsa berkata dia tidak mengambil komputer itu.

“Saya tanya Zulfarhan Osman kalau dia ada pergi ke bilik 4-10, bilik Muhammad Akmal Zuhairi, sebab ‘laptop’ hilang di bilik tersebut, Zulfarhan Osman kata tidak. Saya juga tanya dia ada ambil laptop itu, dia kata dia tidak ambil,” katanya yang turut memberitah­u dia menemui Zulfarhan Osman dan bertanyaka­n perkara itu di bilik asrama 3-05 UPNM, pada 21 Mei 2017.

Katanya, dia menyoal mangsa selepas rakannya, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal yang merupakan tertuduh pertama itu memberitah­unya bahawa dia mengesyaki mangsa telah mencuri komputer riba tersebut.

Saksi ke-20 pihak pendakwaan itu berkata demikian ketika pemeriksaa­n utama Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah pada perbicaraa­n hari ke-10 kes itu, semalam.

Kepada soalan Othman adakah Hari Krishna tahu mengapa Muhammad Akmal Zuhairi mengesyaki mangsa telah mencuri komputer ribanya, saksi itu berkata dia tidak tahu.

Saksi itu memberitah­u bahawa beberapa hari selepas itu, dia ada melihat Zulfarhan Osman berada di bilik lain bernombor 4-06.

Katanya, Zulfarhan Osman yang tidak memakai baju, berselimut di paras pusat, kelihatan hanya terbaring ketika berada di bilik itu sepanjang tujuh hari dan terdapat kesan lecur di dada mangsa.

Ketika ditanya Othman adakah dia ada bertanyaka­n mangsa mengenai kesan lecur itu dan apakah reaksinya sebagai pelajar perubatan apabila melihat kecederaan itu, Hari Krishna berkata, “saya baharu di tahun dua ketika itu, saya tidak ada pengalaman, saya takut ada masalah besar lain, jadi saya jauhkan diri,” katanya.

Kepada soalan lain apakah masalah yang dimaksudka­n tersebut, saksi itu berkata, masalah membabitka­n pihak atasan berkaitan dengan kecurian komputer riba.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muham- mad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka, yang kesemuanya berusia 22 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntu­k hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama-sama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabka­n cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatka­n pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntu­k hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraa­n di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung hari ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia