Utusan Borneo (Sarawak)

Chile sasar halau 2,000 pendatang haram

-

SANTIAGO: Kerajaan sayap kanan presiden bilionair Chile Sebastian Pinera berkata ia telah menetapkan sasaran untuk menghalau 2,000 pendatang haram dari negara itu sebelum hujung tahun ini.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pelan migrasi yang diperkenal­kan oleh pengeluar tembaga terbesar di dunia itu untuk berdepan dengan ketibaan ratusan ribu pendatang sejak empat tahun lepas.

Pengusiran tersebut akan mengutamak­an rakyat asing dengan rekod jenayah, termasuk mereka yang tidak menerima tawaran kerajaan bagi membiasaka­n situasi mereka.

“Secara efektifnya, sebelum hujung tahun ini, terdapat kira- kira 2,000 pengusiran dari negara kami bagi rakyat asing yang melakukan jenayah,” kata jurucakap kerajaan Cecilia Perez.

Langkah pertama pengusiran disasarkan kepada orang yang mempunyai rekod jenayah.

Seterusnya dalam senarai adalah mereka yang menjalani hukuman penjara yang akan berdepan dengan pengusiran sebaik sahaja mereka selesai menjalani hukuman mereka, jelas Perez.

Kumpulan ketiga akan termasuk semua pendatang yang tidak melalui proses lazim yang dimulakan oleh kerajaan pada April. Setakat ini, lebih 140,000 pendatang sudah menerima dokumen, menurut kementeria­n dalam negeri.

“Pintu akan terbuka buat semua rakyat asing yang datang untuk menyumbang kepada negara kita, yang ingin mempunyai peluang yang lebih baik untuk hidup. Namun tidak bagi mereka yang melakukan, atau telah melakukan, jenayah di negara mereka atau berniat untuk datang dan melakukan jenayah terhadap kami,” tegas Perez.

Pada awal tahun ini, Chile melonggark­an syarat-syarat visa bagi rakyat Venezuela yang melarikan diri dari krisis politik di samping memperketa­tkan peraturan bagi rakyat Haiti.

Sepanjang tempoh empat tahun lepas, Chile telah menjadi salah satu destinasi utama bagi pendatang di Amerika Latin, mendedahka­n jumlah pada awal tahun ini yang menunjukka­n lebih sejuta rakyat asing berada di negara itu, hampir dua kali ganda daripada anggaran sebelum ini.

Kira-kira 300,000 daripada jumlah tersebut dipercayai tinggal secara haram di negara itu. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia