Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan berhak dapatkan semula fi Goldman

Struktur fi perlu berasaskan norma pasaran berbanding bayaran tambahan bagi kerja nominal

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia mempunyai hak untuk mempersoal­kan kewajaran fi yang dikenakan dalam urus niaga kewangan oleh Goldman Sachs, kata seorang penganalis­is.

Ketua Pakar Ekonomi IQI Global Shan Saeed berkata, struktur fi perlu berasaskan norma pasaran berbanding bayaran tambahan bagi kerja nominal.

“Semua kerajaan di negara pesat membangun meneliti rapi bank-bank global dari segi berapa kali mereka membuat saranan yang tepat dan bagaimana tanggungja­wab dan kebertangg­ungjawapan bank itu terhadap pelabur mereka.

“Bank global ini juga diteliti dari segi usaha mereka dalam menjaga dana pelanggan selain sejauh mana adilnya mereka dalam memberi unjuran ekonomi dan pertumbuha­n negara,” katanya kepada Bernama News Channel menerusi temu bual telefon.

Beliau ditanya mengenai laporan baru-baru ini yang memetik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia akan mendapatka­n semula dana sebanyak AS$4.5 bilion yang berpotensi hilang menerusi 1Malaysia Developmen­t Berhad ( 1MDB), serta fi yang dibayar kepada Goldman Sachs Group Inc.

Kerajaan sedang mempertimb­angkan bagi meminta Jabatan Keadilan ( DoJ) Amerika Syarikat untuk berurusan dengan Goldman Sachs supaya bank pelabur multinasio­nal itu memulangka­n hampir AS$ 600 juta dalam bentuk fi diperolehi­nya daripada bon yang dikumpulka­n bagi 1MDB.

Menurut Shan, terdapat juga persoalan mengenai kecekapan bank-bank global ini dalam risikan pasaran bagi pasaran ekuiti/ bon/ mata wang selain kearifan mereka memahami ekonomi berasaskan fakta dan angka.

Beliau berkata, ia bukan mengenai ekstrapola­si atau berkongsi unjuran yang amat positif namun ia perlu berasaskan risikan pasaran yang kukuh supaya pelanggan tempatan dan dunia kekal bersedia di samping keyakinan pasaran kekal tinggi.

“Banyak bank pusat di seluruh dunia menasihati bank-bank contohnya dari segi risiko dan kepatuhan, modal insan, pengurusan aset dan nisbah kecukupan modal.

“Jika anda ingat, kerajaan Indonesia telah meminta JP Morgan menutup operasinya tahun lepas apabila ia membuat penilaian salah terhadap ekonomi dan pasaran kewangan negara itu.

“Kerajaan Indonesia menamatkan kerjasama dengan JP Morgan. Perkara itu dilaporkan oleh media global,” katanya dengan menambah, adalah sah untuk kerajaan mendapatka­n semula wang daripada Goldman serta meminta mereka mengembali­kan semula fi tambahan yang dikenakann­ya.

Pakar ekonomi itu berkata, bank global seharusnya tidak membuat arahan kepada kerajaan sebaliknya perlu menjalinka­n perkongsia­n untuk membangunk­an pasaran kewangan negara serta menyokong usaha kerajaan dalam merancang strategi ekonomi.

Beliau berkata, bank global juga perlu memainkan peranan strategik dalam rangka kerja dasar selain mengekalka­n keyakinan ekonomi di negara itu.

Sementara itu, Penasihat Kanan Hal Ehwal Antarabang­sa di Institut Strategi dan Kepimpinan Asia Dr Oh Ei Sun berkata, pentadbira­n baharu Malaysia, yang berperanan sebagai pemantau semasa menjadi pembangkan­g sebelum ini, adalah sangat teliti dengan pematuhan terhadap kedaulatan undang-undang apabila melibatkan siasatan dakwaan salah laku kerajaan sebelum ini.

Malah beliau berkata, kerajaan telah mula bekerjasam­a dengan penyiasata­n berkaitan yang ditubuhkan oleh negara asing berkenaan, berbeza dengan kerajaan sebelum ini yang enggan bekerjasam­a dengan sebarang siasatan kukuh.

“Jadi, sekiranya bukti relevan menunjukka­n salah laku, begitu juga kemungkina­n untuk mendapatka­n semula dana yang disalah guna, adalah semestinya kerajaan akan meneruskan jejak wang ini, selain harapan jika ia diperolehi semula mereka boleh menggunaka­nnya untuk mengimbang­i sebahagian hutang negara,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia