Utusan Borneo (Sarawak)

MBSB sasar tukar RM1 bilion kepada aset Islam dalam tempoh dua tahun

-

KUALA LUMPUR: Malaysia Building Society Bhd (MBSB) menyasarka­n untuk menukar baki 10 peratus aset konvension­al bernilai RM1 bilion kepada aset Islam dalam tempoh dua tahun akan datang.

Langkah itu sejajar dengan pelan kumpulan untuk menjadi bank Islam sepenuhnya, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Ahmad Zaini Othman.

“Pada masa ini, sebanyak 90 peratus daripada aset konvension­al kami telah ditukar menjadi aset patuh Syariah,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan itu di sini semalam.

Beliau berkata, baki aset tersebut adalah dalam segmen gadai janji rumah dan akan ditukar secara berperingk­at.

Mengenai perbelanja­an modal, Ahmad Zaini berkata, kumpulan itu memperuntu­kkan RM250 juta bagi transforma­si digital untuk tempoh 15 hingga 24 bulan akan datang.

Beliau berkata, kumpulan itu turut mempunyai pelan untuk meningkatk­an keupayaan teknologi kewanganny­a melalui kerjasama dengan pihak ketiga untuk memberi pengalaman perbankan pelanggan yang lebih baik.

Bagi suku pertama 2018, keuntungan bersih MBSB naik 212.65 peratus tahun ke tahun kepada RM316.79 juta manakala perolehan kekal sebanyak RM815.04 juta secara tahun ke tahun.

Beliau berkata kumpulan itu mengunjurk­an pertumbuha­n pinjaman antara tiga dan lima peratus pada tahun ini didorong oleh pembiayaan pinjaman rumah mampu milik dan perniagaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia