Utusan Borneo (Sarawak)

Pembinaan ibu pejabat HSBC di TRX mendahului jadual

-

KUALA LUMPUR: HSBC Bank Malaysia Bhd (HSBC), antara pelabur dalam projek Tun Razak Exchange (TRX), gembira dengan perkembang­an pembinaan bangunan ibu pejabatnya di zon kewangan itu yang mencatatka­n kemajuan mendahului jadual, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Stuart Milne.

“Kami amat gembira dengan kemajuan itu dan kami akan memindahka­n sebahagian perniagaan kami menjelang Disember 2020,” katanya kepada pemberita selepas perasmian HSBC Amanah Malaysia Bhd cawangan Sri Petaling di sini, semalam.

Pada Khamis lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumka­n kerajaan akan menyuntik pembiayaan tambahan sebanyak RM2.8 bilion untuk memastikan penyiapan TRX bagi mengelakka­n pembayaran pampasan RM3.51 bilion.

Milne berkata komitmen yang diberikan pihaknya adalah besar memandangk­an mereka melabur lebih AS$250 juta atau RM1 bilion untuk ibu pejabat.

“Projek ini hampir selesai dan secara jelas kerajaan membuat keputusan tepat yang akan memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut perancanga­n,” katanya, dengan menambah, kerajaan telah mengiktira­f bahawa TRX merupakan projek yang baik.

Baru-baru ini Lim berkata projek TRX yang menjadi kontrovers­i itu akan diteruskan untuk menjana semula dana yang diseleweng­kan, membayar balik semua pjnjaman dan mendapatka­n kembali semua pelaburan pembiayaan serta kerugian kos lepas.

Selain itu, Milne berkata HSBC Bank Malaysia menyasarka­n untuk memperluas­kan operasi Islam dan konvension­alnya di negara ini dengan merancang untuk melancarka­n empat unit amanah baharu dan sukuk runcit.

HSBC Bank Malaysia mempunyai 68 cawangan di seluruh negara dengan 26 daripadany­a adalah cawangan HSBC Amanah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia