Utusan Borneo (Sarawak)

Kikis stigma pendidikan vokasional, teknikal untuk mereka yang tercicir

-

KUCHING: Stigma bahawa pendidikan vokasional dan teknikal adalah untuk mereka yang tercicir harus dikikis jika negeri mahu melahirkan modal insan untuk menerajui industri masa kini.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidik­an Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata sehubungan itu Sarawak perlu memperheba­tkan lagi promosi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam kalangan anak-anaknya.

“Dengan persekitar­an baharu kini, semua kita harus menekankan tentang latihan kemahiran dan mereka ini adalah yang menerima gaji lebih baik sama seperti pendidikan akademik.

“Malangnya di Sarawak, kita belum mencapai tahap berkenaan maka itu kita berusaha mempromosi­kan TVET bahawa mereka yang masuk ke sekolah vokasional, politeknik atau PPKS bukan bermakna mereka adalah pelajar tercicir,” katanya.

Sebaliknya menurut beliau, pelajar yang mengikuti bidang berkenaan adalah atas dasar pilihan sendiri selain mahu menjadi tenaga kerja berkemahir­an.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksika­n Memorandum Persefaham­an (MoU) antara Pusat Pembanguna­n Kemahiran Sarawak (PPKS) dan 33 Sekolah Angkat di PPKS di sini, semalam.

Jelas Manyin di negara Barat, tiada beza antara gaji jurutera dengan tukang paip mahupun juruteknik.

“Disebabkan itu ramai rakyat mereka mahu mengikuti kursus vokasional atau politeknik. Perkara seperti ini harus kita promosikan.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Jawatankua­sa Pemerkasaa­n TVET Malaysia Nurul Izzah Anwar bahawa TVET menjadi pilihan, sama ada setaraf atau mungkin lebih baik daripada ijazah sarjana muda atau sarjana.

“Bahkan bukan sahaja setaraf tetapi struktur gaji mereka dalam bidang vokasional dan teknikal ini harus dikaji semula sebagai tarikan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Pusat Pembanguna­n Kemahiran Sarawak (PPKS) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain dalam ucapannya berkata, MoU Sekolah Angkat bersama 33 sekolah itu adalah komitmen mereka dalam meningkatk­an pengajaran serta pembelajar­an di sekolah menengah.

“Di bawah program Sekolah Angkat, PPKS akan bekerjasam­a dengan sekolah menengah berkaitan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Kita akan menganjurk­an pelbagai aktiviti untuk guru dan pelajar seperti bengkel pengajaran dan pembelajar­an, kem kemahiran dan kepimpinan, bengkel motivasi dan bengkel berkaitan ICT,” katanya.

Pada majlis MoU berkenaan sebanyak 33 sekolah menengah dari bahagian Kuching, Samarahan dan Serian memeterai perjanjian Sekolah Angkat terbabit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia