Institut memandu dinasihati dedah jumlah yuran dikenakan
SERIAN: Semua institut memandu di Sarawak dinasihati agar mendedahkan secara terbuka jumlah yuran yang dikenakan bagi ujian memandu.
P e n g a r a h J a b a t a n Pengangkutan Jalan ( JPJ) Sarawak Mohd Syafiq Anas Abdullah yang menyeru perkara itu berkata, tindakan sedemikian membolehkan ibu bapa dan mereka yang mahu mendapatkan lesen memandu mengetahui jumlah sebenar yang mereka perlu bayar.
Beliau memberitahu bahawa bayaran yang didedahkan kepada awam mengelakkan persepsi negatif daripada orang ramai ditipu oleh institut memandu.
“Walaupun jabatan tahu bahawa sesetengah institut memandu perlu menanggung kos tambahan, yang mungkin melibatkan kos pengangkutan.
“Mereka perlu mendedahkan kepada awam jumlah yang dikenakan untuk mengelakkan persepsi bahawa institut memandu mengenakan yuran terlalu tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Institut Memandu LiaMarc di Tarat dekat sini, semalam.
Menurut Mohd Syafiq, institut memandu turut menawarkan pakej berbeza kepada pelajar mereka sehingga lulus ujian memandu, yang juga harus didedahkan kepada umum.
Katanya jabatan itu menerima aduan bahawa sesetengah institut memandu mengenakan bayaran antara RM1,800 hingga RM2,000 untuk Kelas D ( motokar) kepada pelajar mereka sehingga memperoleh lesen.
Menurut beliau, yuran siling untuk mendapatkan lesen motosikal adalah RM400 sementara RM2,500 bagi kereta automatik dan RM1,200 bagi kereta manual.
Mohd Syafiq berkata, terdapat 27 institut memandu sementara 10 lagi masih dalam pembinaan dan 12 sekolah memandu di seluruh negeri.
Katanya, kebanyakan sekolah memandu terletak di kawasan luar bandar dan bandar.
Mengenai isu lain, Mohd Syafiq berkata sistem e-ujian yang telah diperkenalkan di Johor Bahru sebagai perintis, akhirnya akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.