Utusan Borneo (Sarawak)

KPDNKK P.Pinang rampas pelbagai beg berjenama tiruan bernilai RM58,390

-

BUTTERWORT­H: Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an ( KDPNKK) Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah dan sebuah premis perniagaan yang menyimpan serta menjual pelbagai beg dan tali pinggang jenama terkenal tiruan di Bandar Perai Jaya, di sini kelmarin.

Dalam serbuan jam 12 tengah hari itu, pihaknya merampas sebanyak 13,509 pelbagai jenis beg jenama terkenal tiruan bernilai RM58,390, hasil pemantauan lebih dua minggu berikutan maklumat awam, kata Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri Md Nasir Mohamad.

Katanya dalam serbuan itu, pihaknya menahan pemilik syarikat yang merupakan warga tempatan dan isterinya seorang wanita China, serta adik iparnya (warga China) bersama seorang pekerja mereka warganegar­a Indonesia.

“Premis kedai milik mereka pernah diserbu Disember lepas dan kes itu masih dalam siasatan. Hari ini (semalam) sekali lagi kami menyerbu rumah yang dijadikan stor simpanan beg tangan dan premis perniagaan yang dijadikan tempat jualan semua beg berkenaan yang disyaki tiruan serta dibawa masuk dari China,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Md Nasir berkata biarpun pernah diserbu namun syarikat pengedar beg pelbagai jenama tiruan itu tidak pernah serik dan terus beroperasi malah mereka mengedarka­n produk berkenaan ke kedai-kedai lain di sekitar negeri ini serta beroperasi dari sebuah rumah mewah tiga tingkat yang disewa.

Katanya berdasarka­n siasatan, mereka telah beroperasi sejak enam tahun lepas dan mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan.

Beliau berkata, pemeriksaa­n mendapati harga bagi setiap beg yang dijual adalah antara RM200 hingga RM700 mengikut jenama seperti Bonia, LV, Christian Dior, Prada dan Coach.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011 dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap unit barang atau tiga tahun penjara,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, Md Nasir berkata pihaknya merampas 1,695 unit jam tangan pelbagai jenama tiruan di dua buah kedai menjual jam di Perai semalam.

“Semua jam yang dirampas itu bernilai RM8,150 dan dipercayai dua kedai itu beroperasi sejak tahun lepas serta menjual jam berjenama tiruan yang dibawa masuk dari luar negara,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia