Utusan Borneo (Sarawak)

Konta tempah pertemuan menentang Wozniacki pada kejohanan di Eastbourne

-

EASTBOURNE, England: Pemain tuan rumah, Johanna Konta akan bertemu dengan pemain ranking kedua dunia, Caroline Wozniacki pada kejohanan di sini selepas mudah menewaskan Aleksandra Krunic 6-1 dan 6-3 Selasa lepas.

Konta membuat persediaan untuk kejohanan Grand Slam Wimbledon minggu hadapan ketika mahu mengulangi pencapaian­nya melangkah ke peringkat separuh akhir tahun lepas.

Pemain berusia 27 tahun itu juga mendapat ‘bantuan’ selepas Krunic, pemain dari Serbia, mengalami sedikit kecederaan pada set pertama dan gagal mempamerka­n aksi sebenar.

Bagaimanap­un, kemenangan itu adalah seperti menebus kekalahan di pusingan pertama Terbuka Amerika tahun lepas.

Selepas menjadi pemain British pertama melangkah ke separuh akhir di Wimbledon dalam tempoh 39 tahun, Konta bergelut mengekalka­n prestasiny­a.

Pemain ranking ke-22 dunia itu menukar jurulatihn­ya pada bulan Disember tetapi gagal melepasi pusingan kedua pada dua kejohanan Grand Slam tahun ini – Terbuka Australia dan Terbuka Perancis.

“Saya belum menentang Caroline sejak sekian lama, jadi saya tidak sabar untuk bertemu dengan beliau,” kata Konta.

“Beliau adalah juara Terbuka Australia. Saya gembira dengan cara saya bermain di sini. Saya tahu Aleksandra adalah lawan yang sukar, jadi saya berasa gembira untuk meneruskan kemaraan.”

Pada perlawanan lain, Petra Kvitova dari Republik Czech, juga meneruskan kemaraan selepas menewaskan Kateryna Bondarenko dari Ukraine 7- 6 dan 6-3 untuk mencipta kemenangan keenam berturut-turut di permukaan rumput.

Rakan senegara Konta, Harriet Dart, bagaimanap­un tersingkir selepas tewas 6-3 dan 6-4 kepada Anastasija Sevastova dari Latvia. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia