Utusan Borneo (Sarawak)

Terpulang kepada PM tentukan jumlah calon menteri, timbalan menteri dari Sarawak

-

KUCHING: Terpulang kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentukan jumlah calon menteri dan timbalan menteri dari Sarawak dalam senarai penuh barisan kabinet persekutua­n yang baharu.

Demikian kata Pengerusi Pakatan Harapan ( PH) Sarawak, Chong Chieng Jen ketika diminta mengulas sama ada beliau berpuas hati dengan kuota satu menteri penuh dan satu timbalan menteri dari Sarawak dalam senarai penuh barisan kabinet baharu seperti yang tular dalam media sosial sejak Isnin lalu

“Senarai penuh kabinet persekutua­n yang viral itu belum muktamad, belum diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Ia adalah prerogatif (kuasa) Perdana Menteri untuk mengumumka­n dan menentukan berapa orang menteri dan timbalan menteri yang akan dilantik dalam senarai kabinet ini

“Oleh itu, sekiranya ia belum dimuktamad­kan atau diumumkam, maka adalah tidak wajar untuk saya buat apa-apa komen atas senarai nama yang diviralkan dalam media sosial baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Majlis Makan Malam Program Latihan Pemantapan Kawad Kecekapan Energency Response Team (ERT) Zon Selatan Tahun 2018 di Kuching, malam kelmarin. Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Nor Hisham Mohamad.

Ditanya sama ada beliau ada menerima panggilan daripada Dr Mahathir berhubung pelantikan­nya sebagai Timbalan Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong menyerahka­n kepada Perdana Menteri untuk mengumumka­n perkara tersebut.

“Tinggal beberapa hari sahaja lagi, Isnin kita akan tahu,” kata Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin.

Baru-baru ini, senarai penuh barisan kabinet baharu yang tidak dapat dipastikan kesahihann­ya telah tular di media sosial.

Kesemua mereka dijadualka­n mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang diPertuan Agong Sultan Muhammad V pada 2 Julai nanti.

Selain Chong, Ahli Parlimen dari negeri ini yang turut dimasukkan dalam senarai itu ialah Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian yang juga Ahli Parlimen Selangau bakal dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia