Utusan Borneo (Sarawak)

Kulit kepala terkoyak dalam nahas 4WD gara-gara jalan licin

-

MIRI: Seorang lelaki mengalami kecederaan parah hingga terkoyak kulit kepala selepas pacuan empat roda (4WD) dipandunya terlibat kemalangan di Jalan Miri-Bintulu berhadapan Ibu Pejabat Batalion 12 Pasukan Gerakan Am di sini, malam kelmarin.

Kemalangan kira-kira jam 10.20 malam itu menyebabka­n mangsa mengalami kecederaan luka pada kepala, luka-luka kecil pada bahagian leher dan tangan kanan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Miri Kapten ( PA) Mohd Hazle Shah Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan terbabit kira-kira jam 10.21 malam.

“Tiga anggota APM diketuai Prebet (PA) Mohd Nashree Razali bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan tersebut.

“Setibanya di lokasi, anggota APM terus memeriksa kawasan sekitar dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah 4WD dan terdapat seorang mangsa lelaki dewasa mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Mohd Hazle Shah berkata, kemalangan terbabit yang menyaksika­n 4WD itu terbabas ke bahagian kiri jalan dipercayai gara-gara jalan raya licin kerana hujan lebat.

“Anggota APM dengan segera memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum ia dihantar ke hospital.

“Mangsa kemudianny­a dihantar ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut dan operasi tamat sekitar jam 11 malam,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia