Utusan Borneo (Sarawak)

56 ADUN Johor angkat sumpah jawatan

-

ISKANDAR PUTERI: Lima puluh enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor semalam mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidanga­n Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-14, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN yang baharu dilantik, Suhaizan Kaiat dengan didahului Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian sebelum diikuti 10 anggota Exco.

Terdahulu, Osman mengemukak­an nama Suhaizan sebagai Speaker DUN Johor dan disokong Pengerusi Jawatankua­sa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan.

Majlis angkat sumpah diteruskan dengan ADUN Gambir yang juga Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin, ADUN Simpang Jeram yang juga Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub dan ADUN Penggaram Gan Peck Cheng sebelum disusuli kesemua ADUN lain.

Sejurus angkat sumpah kesemua ADUN selesai, Gan, 52, yang juga Setiausaha DAP Johor kemudian dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Johor apabila nama beliau dicadang Osman dan disokong Aminolhuda.

Sementara itu, Suhaizan, 45, yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Sains Komputer dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam ucapannya, menyifatka­n pelantikan berkenaan sebagai satu penghormat­an yang sangat tinggi dan beriltizam akan mengendali­kan persidanga­n DUN Johor sebaik mungkin.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas, Suhaizan yang merupakan Setiausaha Organisasi Amanah dan Naib Pengerusi Amanah Johor bertanding di kerusi DUN Kukup, namun, tewas kepada calon Barisan Na- sional (BN) Datuk Md Othman Yusof dengan majoriti 862 undi.

Suhaizan memperoleh 10,251 undi, Md Othman memperoleh­i 11,113 undi manakala calon PAS, Karim Deraman memperoleh 1,040 undi dalam perlawanan tiga penjuru itu.

Pakatan Harapan mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 36 kerusi DUN Johor pada PRU14, manakala BN mendapat 19 kerusi dan PAS dengan satu kerusi.

Daripada 36 kerusi itu, DAP memperoleh 14 kerusi, Amanah ( sembilan), PKR (lima) manakala PPBM (lapan).

Bagaimanap­un, tiga ADUN BN daripada UMNO iaitu ADUN Sedili Rasman Ithnain, ADUN Johor Lama Rosleli Jahari dan ADUN Endau Alwiyah Talib kemudian mengumumka­n bertindak keluar UMNO dan BN pada 12 Mei. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia