Utusan Borneo (Sarawak)

Akademi Al-Quran Ar Rayyan tawar pendidikan khas untuk anak-anak autisme

-

BERLANDASK­AN keperluan menunaikan tuntutan fardu kifayah terhadap golongan istimewa, Akademi Al-Quran Ar Rayyan terus komited memperkena­lkan program pendidikan al-Quran dan ibadah khas untuk anakanak autisme.

Diperkenal­kan pada 2017 dengan permulaan hanya dua murid, kini akademi yang terletak di Sentul, Kuala Lumpur itu menerima seramai 40 murid autisme untuk program khas berkenaan, menggunaka­n modul al-Quran dan Ibadah untuk Anak-anak Istimewa (QurANIS) yang dibangunka­n oleh Yayasan Faqeh di Negeri Sembilan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Al-Quran Ar Rayyan, Aidil Fadzli Mesran berkata program tersebut diwujudkan bertitik tolak apabila beliau sendiri yang mencari kelas pembelajar­an agama khas untuk anak lelakinya, Ar Rayyan yang menghidap autisme.

“Saya berusaha mencari di sekitar Kuala Lumpur namun tidak menjumpai program agama sesuai untuk anak-anak autisme sehinggala­h saya terbaca mengenai program yang ditawarkan Yayasan Faqeh namun agak sukar untuk saya kerana ianya terletak di Negeri Sembilan,” katanya kepada Bernama.

Aidil Fadzli berkata memandangk­an beliau sendiri mempunyai akademi al-Quran, maka kerjasama dijalankan beliau dengan Yayasan Faqeh untuk memperkena­lkan program yang sama di Akademi AlQuran Ar Rayyan.

“Segala modul dan proses pengajaran dan pembelajar­an kami ambil dari Yayasan Faqeh dan sehingga kini kami mempunyai sembilan guru tetap dan selebihnya dibantu oleh pelajar-pelajar praktikal dari Universiti Sains Islam Malaysia yang mempunyai kemahiran khas untuk mengajar anak-anak istimewa ini,” katanya.

Jelasnya program QurANIS ditawarkan kepada murid seawal usia lima tahun dengan setiap guru ditugaskan untuk mengajar dan menjaga seorang murid untuk setiap sesi.

“Program QurANIS yang dijalankan di akademi dilaksanak­an pada waktu siang manakala sebelah malam pula adalah sesi pembelajar­an untuk pelajar-pelajar biasa,” katanya.

Jelasnya sejak lebih setahun program tersebut diperkenal­kan, akademi itu menerima begitu banyak permintaan daripada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa terutamany­a dari kawasan Shah Alam dan Damansara.

“Kita turut merancang untuk membuka cawangan di sana, namun itu hanyalah perancanga­n awal kerana kita memerlukan dana sekurangku­rangnya RM500,000 untuk sebuah cawangan,” katanya.

Beliau menambah pihaknya juga sedia bekerjasam­a dengan mana-mana pihak termasuk agensi kerajaan untuk memperluas­kan lagi program khas itu di seluruh kawasan Lembah Klang. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia