Utusan Borneo (Sarawak)

SEGERA TARIK BALIK PRODUK IKAN SARDIN DALAM TIN MENGANDUNG­I CACING

-

KUCHING: Masih terdapat peniaga di bandar raya ini menjual produk ikan sardin dalam tin yang telah disahkan mengandung­i benda asing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.

Perkara itu didedahkan Ketua Kesihatan Awam Kementeria­n Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Cheong Yaw Liang selepas mengadakan pemeriksaa­n di beberapa premis kedai di Padungan di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau menggesa peniaga menarik balik produk tersebut dan memulangka­nnya semula kepada pengedar dengan segera.

“Keselamata­n orang awam adalah keutamaan kita. Jika kita mendapati mana-mana premis kedai menjual produk berkenaan, kita meminta mereka menarik balik produk tersebut dan kita juga memberi surat amaran kepada mereka.

“Pada masa sama, surat amaran itu akan dipanjangk­an kepada agensi kerajaan berkaitan seperti Kementeria­n Kesihatan dan Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an (KPDNKK) untuk tindakan,” ujarnya.

Menurut Dr Cheong lagi, jika pemilik kedai gagal dan enggan berbuat demikian, tindakan akan diambil mengikut undang-undang dan ordinan berkaitan.

Malah, beliau memberitah­u, pihaknya akan menjalanka­n lebih banyak pemeriksaa­n secara berterusan di premis kedai jualan di seluruh Sarawak bermula hari ini.

Kelmarin, Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) menarik balik enam lagi jenama produk ikan sardin dalam tin dari pasaran kerana disahkan mengandung­i benda asing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.

Ketua Pengarahny­a Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, enam produk ikan sardin tersebut ialah daripada jenama Cinta, Sea Fresh, HS Brand, King Cup, Bintang dan TC Boy.

Beliau berkata, KKM juga mengenakan tindakan Tahan, Uji dan Lepas terhadap pengimport­an produk ikan dalam tin di semua pintu masuk negara.

“Tahan, Uji dan Lepas merupakan tindakan di mana sampel akan diambil untuk analisis dan produk tersebut hanya akan dilepaskan sekiranya keputusan analisis menunjukka­n tiada pelanggara­n dikesan iaitu dalam hal ini, cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.

“Sementara bagi produk ikan dalam tin keluaran tempatan, verifikasi di semua kilang pengeluara­n dijalankan oleh KKM,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menjelaska­n risiko kepada kesihatan bagi produk ikan dalam tin amat rendah kerana cacing tersebut telah mati disebabkan proses memasak atau pengetinan.

Katanya, Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntu­kkan mana-mana pihak terlibat dalam mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan beracun, merosakkan atau selainnya memudaratk­an kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan.

Sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Penggunaya­ngmempunya­ikemusykil­an berhubung sebarang isu keselamata­n makanan, boleh menghubung­i Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah/ Kawasan/ Bahagian terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh. spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamata­n dan Kualiti Makanan www. facebook.com/bkkmhq.

Dalam perkembang­an berkaitan, Bernama semalam melaporkan Syarikat Marushin Canneries (M) Sdn Bhd menjelaska­n bahawa produk sardin dalam tin berjenama King Cup yang dikeluarka­nnya tidak terbabit dengan produk sardin yang ditarik balik dari pasaran seperti arahan KKM.

Pengurus Pentadbira­n dan Sumber Manusianya Josephine Loo dalam kenyataan semalam berkata, produk ‘King CupSardine­s in Tomato Sauce’ tidak terkandung dalam senarai produk yang ditarik balik seperti dilaporkan.

“Kenyataan KKM dengan jelas menyatakan (syarikat itu) Mackerel in Tomato Sauce (antara produk yang ditarik balik), bukan Sardines in Tomato Sauce,” katanya.

 ??  ?? SILA PATUH: Dr Cheong bercakap kepada media semasa memeriksa produk ikan sardin dalam tin di sebuah premis kedai di Padungan, semalam.
SILA PATUH: Dr Cheong bercakap kepada media semasa memeriksa produk ikan sardin dalam tin di sebuah premis kedai di Padungan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia