Utusan Borneo (Sarawak)

Beri garis panduan perjelas hubungan agensi kerajaan negeri, persekutua­n: Fatimah

-

KUCHING: Kerajaan persekutua­n menerusi Ketua Setiausaha Negara (KSN) diminta memberikan garis panduan yang jelas mengenai hala tuju hubungan kerjasama antara agensi kerajaan di peringkat negeri dan persekutua­n.

Menteri Kebajikan, Kesejahter­aan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini penting untuk meleraikan kekeliruan skop tugas dan tanggungja­wab serta kuasa antara kedua-dua pihak.

“Sekarang ini, kita dalam tempoh menyesuaik­an diri dengan kerajaan baharu dan ramai ketua-ketua agensi dan jabatan persekutua­n di negeri ini yang keliru dengan skop tugas dan tanggungja­wab mereka terutama dari segi penerimaan arahan.

“Sebagai contoh, saya sebagai menteri yang bertanggun­gjawab terhadap kebajikan dan kesejahter­aan rakyat di negeri ini perlu membuat lawatan ke Hospital Kota Sentosa, tetapi saya dimaklumka­n bahawa lawatan tersebut tidak dapat diteruskan atas nasihat pihak atasan.

“Tetapi, tiada arahan yang jelas mengenai perkara ini dan saya minta pihak persekutua­n memberikan arahan dan garis panduan yang jelas supaya kita dapat terus bekerjasam­a,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Riang Ria Aidilfitri dan Ngiling Tikai anjuran Kelab Rekreasi Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak di Wisma Wanita, Jalan Sultan Tengah di sini, semalam.

Fatimah berkata, meskipun berlaku perubahan dalam kerajaan yang memerintah tetapi agensi dan jabatan kerajaan sama ada di bawah kerajaan negeri mahupun persekutua­n harus terus bekerjasam­a.

Tegas Fatimah, apapun yang berlaku dalam peralihan kerajaan, komitmen kementeria­n terutama untuk membantu dan menjaga kebajikan serta kesejahter­aan rakyat tidak harus berubah.

“Bagi saya, soal kebajikan dan kesejahter­aan rakyat termasuk pendidikan tidak harus dipolitikk­an.

“Sebagai contoh, bantuan bencana dan kebajikan, agensi dan jabatan kerajaan di peringkat negeri mahupun persekutua­n tidak dapat melakukann­ya sendiri.

“Jadi, kita amat berharap selepas ini, kerajaan persekutua­n menerusi Ketua Setiausaha Negara akan memberikan garis panduan yang jelas mengenai perkara ini dan kita akan patuh dengan apa-apa arahan daripada mereka,” katanya.

Bagi memperjela­skan lagi mengenai skop tugas dan tanggungja­wab serta kuasa antara kementeria­nnya dengan kementeria­n di peringkat pusat, Fatimah dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Wanita dan Pembanguna­n Keluarga pada 27 Julai ini.

Pertemuan itu nanti diharap akan memperjela­skan mengenai hala tuju hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak yang mempunyai objektif yang sama iaitu memperkasa­kan wanita dan kesejahter­aan rakyat.

Turut hadir pada majlis itu semalam, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-Kanak Rosey Yunus, Menteri Muda Kesejahter­aan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Ketua Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Noriah Ahmad serta yang lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia