Utusan Borneo (Sarawak)

CAP gesa tarik balik spektrum 700 MHz

-

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kelulusan ke atas spektrum 700MHz segera ditarik balik daripada pengendali telefon bimbit, kata presidenny­a SM Mohamed Idris.

Beliau berkata pada masa sama Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu memaklumka­n kriteria yang digunakan untuk memperuntu­kkan jalur itu dan menetapkan bayaran fi.

SM Mohamed berkata persatuan itu menyuaraka­n kebimbanga­n terhadap kerugian berbilion ringgit potensi hasil susulan kelulusan lesen spektrum terhadap pengendali telefon bimbit pada masa lalu.

Ini berikutan kurangnya ketelusan terhadap proses kelulusan, selain harga yang rendah untuk mendapatka­n band frekuensi, katanya pada sidang akhbar di sini kelmarin.

“Pada 2015, India meraih RM638 bilion daripada jalur 900MHz selain jalur lain yang sah bagi 20 tahun ini iaitu RM31.9 bilion setahun. Sebaliknya, Malaysia memperoleh RM2.755 bilion, termasuk penyelengg­araan tahunan, daripada jalur 700MHz yang sah untuk 16 tahun.

“Ini bersamaan RM0.17 bilion setahun. Ia menyaksika­n perbezaan kos yang amat besar tanpa mengira saiz negara dan faktor lain,” katanya.

Proses menarik semula spektrum daripada pengendali telefon bimbit dan mengeluark­annya semula menerusi teknologi yang berlainan dipanggil ‘refarming’, yang membebaska­n spektrum tidak digunakan dengan berkesan dan teknologi yang ketinggala­n zaman dan menggunaka­nnya untuk perkhidmat­an yang mendapat permintaan lebih tinggi dan kurang penggunaan spektrum.

Mohamed Idris berkata CAP mengambil maklum pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo bahawa kelajuan Internet di negara ini akan ditambah baik susulan aduan pengguna terhadap kualiti jalur lebar.

“Pada 20 Jun 2018, Gobind mengumumka­n harga pakej jalur lebar dijangka turun sekurang-kurangnya 25 peratus tahun ini. Kami berharap beliau akan memberikan lebih perhatian kepada cara spektrum diluluskan oleh SKMM.

“CAP juga berharap kementeria­n akan memastikan wujud ketelusan dalam pengeluara­n lesen spektrum dan fi yang dibayar harus memberikan hasil yang cukup kepada kerajaan, sementara pengguna akhir akan menerima perkhidmat­an berkualiti tinggi,” katanya.

Sementara itu Pegawai Penyelidik CAP Joseph Raj berkata spektrum merupakan komoditi berharga, khususnya jalur 700MHz, memandangk­an kos untuk mengeluark­an perkhidmat­an pada frekuensi itu lebih rendah berbanding frekuensi lebih tinggi.

“Menurut Pelan Spektrum SKMM 2017, pemohon yang berjaya akan dipilih berdasarka­n siapa yang membida lebih tinggi, selain permohonan perlu mematuhi prosedur ditetapkan SKMM. Ia menyatakan penilaian itu tidak terhad kepada pengalaman, teknikal dan cadangan komersial, namun mesti meliputi harga cadangan bergantung kepada jenis tender,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia