Utusan Borneo (Sarawak)

UMNO mohon SPRM untuk guna wang akaun dibekukan

Tindakan berkenaan bagi membolehka­n perbelanja­an yang telah ditentukan dapat dibayar setiap bulan

-

BAGAN DATUK: UMNO telah mengemukak­an permohonan kepada Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar sebahagian daripada akaun parti yang dibekukan dapat diguna untuk tujuan pentadbira­n dan pembayaran gaji.

Naib Presiden UMNO yang menjalanka­n tugas presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata permohonan itu telah dikemukaka­n kepada SPRM kelmarin oleh Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama barisan peguam yang dilantik.

Menurutnya tindakan berkenaan harus dilakukan bagi membolehka­n perbelanja­an yang telah ditentukan dapat dibayar setiap bulan.

“Kita harap SPRM memberikan pertimbang­an sewajarnya kerana tentunya kita mahu supaya gaji, sewaan dan kos-kos pentadbira­n lain dapat terus diberikan pertimbang­an kerana ia bukan digunakan untuk lain- lain tujuan,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kepada pemberita selepas merasmikan persidanga­n perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini, semalam.

Kelmarin laporan media menyebut SPRM didakwa sudah membekukan 900 akaun bank yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) termasuk akaun milik UMNO.

Sementara itu, di Alor Star, perkara yang sama diluahkan Pengerusi Badan Perhubun- gan UMNO negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah supaya SPRM membenarka­n pengeluara­n sebahagian wang daripada akaun UMNO negeri untuk tujuan pembayaran gaji.

Menurutnya, tindakan membekukan akaun UMNO pusat dan negeri Kedah yang turut melibatkan akaun di 15 peringkat bahagian negeri menyebabka­n parti itu tidak mempunyai sumber kewangan bagi tujuan perbelanja­an.

“Kalau beku, mana kita nak ambil duit untuk bayar gaji bulanan pekerja yang bekerja dengan pejabat UMNO dan bila tiada duit kita terpaksa buang pekerja. Jadi, kita minta supaya SPRM benarkan UMNO untuk keluarkan sebahagian wang yang ada dalam akaun,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata UMNO perlu mencari jalan penyelesai­an terutama melibatkan aspek kewangan selepas akaun parti dibekukan.

Bekas menteri besar Perak itu berkata ini kerana, pembekuan akaun tersebut dilihat mampu merencatka­n pergerakan parti termasuk untuk mengadakan mesyuarat yang memerlukan wang.

“Saya harap usaha untuk kita gerakkan semula ataupun untuk dapatkan semula perbelanja­an perlu kerana segala-galanya kita letakkan dalam akaun tersebut. Saya lihat anggota UMNO begitu tabah dan bagi saya biarlah proses itu berjalan kerana itu adalah keputusan yang dibuat pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas persidanga­n perwakilan UMNO Bahagian Lumut di sini, semalam.

Di Kuala Nerus, Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya bersedia memberi kerjasama dengan SPRM bagi menyiasat akaun pertubuhan itu.

Menurutnya, sepanjang beliau menerajui UMNO Terengganu sumber kewangan yang diperoleh adalah daripada UMNO Pusat.

Bagaimanap­un beliau berkata, sehingga hari ini belum dihubungi oleh SPRM atau mana-mana bank yang memaklumka­n berlaku pembekuan akaun UMNO negeri.

Di Melaka, Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Melaka, Datuk Seri Idris Harun juga menyatakan pihaknya bersedia untuk memberikan kerjasama kepada manamana pihak berkuasa jika ada siasatan berhubung akaun bank UMNO Negeri itu.

Menurutnya, pihaknya tidak menerima sebarang notis ataupun arahan siasatan, tetapi sebagai persediaan pihaknya telah melantik enam peguam bertauliah sebagai pemegang amanah kepada sebahagian harta mudah alih dan tetap UMNO melaka bagi menghadapi sebarang kemungkina­n dirampas atau dibekukan. — Bernama

Kita harap SPRM memberikan pertimbang­an sewajarnya kerana tentunya kita mahu supaya gaji, sewaan dan kos-kos pentadbira­n lain dapat terus diberikan pertimbang­an kerana ia bukan digunakan untuk lain-lain tujuan. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Naib Presiden UMNO

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia