Utusan Borneo (Sarawak)

Menteri, timbalan menteri dari Sarawak diharap jalan tanggungja­wab sebaik mungkin: Fatimah

-

KUCHING: Menteri Kebajikan, Kesejahter­aan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berharap menteri dan timbalan menteri dari Sarawak yang baharu dilantik dalam Kabinet Malaysia akan menjalanka­n tanggungja­wab mereka dengan sebaik mungkin.

Fatimah yang ditemui pemberita semalam berkata, walaupun bilangan wakil dari Sarawak adalah kecil, namun beliau berharap kedua-dua menteri dan timbalan menteri yang baharu ini akan menjadi suara rakyat di negeri ini.

“Jika dilihat dari segi bilangan kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, saya rasa mereka sedikit kecewa sebab hanya seorang menteri dan seorang timbalan dilantik dalam kabinet berbanding Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Tetapi kita berharap walaupun kecil, tetapi yang ada itu akan jalankan tanggungja­wab mereka dengan sebaik mungkin.

“Jangan cakap sahaja tetapi buatlah seperti yang disebut sebelum ini semasa mereka menjadi pembangkan­g dahulu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pelantikan dua wakil Sarawak dalam Kabinet Malaysia yang baharu semalam.

Kabinet yang baharu semalam menyaksika­n hanya seorang menteri penuh dilantik dari Sarawak iaitu Baru Bian sebagai Menteri Kerja Raya.

Manakala Pengerusi PH Sarawak sendiri iaitu Chong Chieng Jen hanya dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Mengulas mengenai pelantikan Baru sebagai Menteri Kerja Raya yang baharu, Fatimah berkata kemente- rian ini adalah sangat penting dalam konteks Sarawak dan beliau berharap Baru akan meneruskan kerja baik yang telah dijalankan oleh menteri sebelum ini.

Antara harapan beliau ialah semua jalan yang masih diperlukan di kawasan luar bandar akan diberikan fokus serta perhatian sewajarnya oleh kerajaan persekutua­n menerusi Kementeria­n Kerja Raya.

Jika dibandingk­an dengan negeri-negeri lain, Sarawak menurut Fatimah masih memerlukan jalan raya terutama jalan dalam kampung bagi menghubung­kan satu kampung ke satu kampung dan dari satu rumah panjang ke satu rumah panjang.

“Saya pasti beliau (Baru) tahu keadaan di Sarawak dan kita berharap apa yang dikatakan oleh mereka sebelum ini akan dilaksanak­an,” katanya.

Untuk Chong pula, beliau berharap Chong akan memantau harga barang dan memastikan harga barangan terutama yang dinikmati penduduk luar bandar tidak tinggi berbanding di bandar.

Dengan penetapan Cukai Barangan dan Perkhidmat­an (GST) pada kadar sifar kini, Chong katanya sebagai timbalan menteri di kementeria­n yang bertangung­jawab perlu memastikan penguatkua­saan dibuat dengan teliti.

“Bagi penduduk di kawasan luar bandar, harga barangan tidak boleh dikenakan pada harga tinggi kerana kemiskinan di luar bandar lebih besar dan kehidupan mereka akan bertambah susah jika harga barang tinggi.

“Saya menyeru kepada menteri baharu menerusi timbalanny­a Chong supaya memberi perhatian terhadap isu harga barangan bagi rakyat di luar bandar negeri ini,” ujarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia