Utusan Borneo (Sarawak)

Pastikan peranti pintar dibawa ke sekolah tidak disalah guna

-

SIBU: Kerajaan digesa memastikan cadangan membenarka­n pelajar membawa gajet dan peranti elektronik ke sekolah jika dilaksanak­an pada masa akan datang tidak disalah guna untuk tujuan tidak sihat.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan bahawa peranti pintar tersebut mesti digunakan dengan sewajarnya untuk mengukuhka­n proses pengajaran dan pembelajar­an di sekolah.

Dalam hal ini, beliau menyokong penuh kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk kementeria­n mengkaji semula cadangan itu oleh kerajaan terdahulu yang membolehka­n pelajar membawa gajet dan peranti elektronik ke sekolah sebagai bantuan dalam proses pengajaran dan pembelajar­an.

“Untuk sebarang tujuan yang baik, saya ingin menasihati jika cadangan itu dilaksanak­an pada masa akan datang, harus tidak ada penyalahgu­naan terhadap kemudahan tersebut.

“Ia mesti digunakan untuk memudahkan pelajar mendapat pengetahua­n dalam sains, teknologi dan perniagaan serta hiburan yang sihat.

“Ia tidak boleh disalahgun­akan iaitu digunakan untuk aktiviti negatif seperti mengakses laman sesawang yang tidak sihat atau bahan pornografi. Itulah yang saya mahu lihat,” kata Lee ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas kenyataan Maszlee baru-baru ini bahawa cadangan itu perlu dikaji secara terperinci termasuk aspek keselamata­n dan infrastruk­tur teknologi yang sedia ada.

Maszlee dilaporkan berkata, kementeria­nnya tidak mahu menekan hanya pada gajet kerana kontraktor (perisian) akan mendapat faedah tetapi bukan pelajar.

Sebagai maklum balas, Lee berkata: “Saya fikir menteri itu mempunyai sebab untuk mengkaji semula cadangan itu termasuk daripada aspek keselamata­n, perisian dan infrastruk­tur.

“Saya berpihak kepada penggunaan teknologi baharu ini di sekolah untuk pelajar memperoleh ilmu sejajar dengan era digital.

“Saya bersetuju sepenuhnya dengan menteri berkenaan supaya cadangan itu dikaji semula, kerana jika program itu diperkenal­kan perlu dipastikan pelaksanaa­nnya lancar,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa jika teknologi baharu boleh dibawa ke sekolah, ia akan memudahkan proses pembelajar­an kerana pelajar dapat mengakses ke seluruh dunia dengan satu klik untuk memperoleh pengetahua­n.

Tetapi sebelum pelaksanaa­n, adalah penting untuk memastikan semua prasarana yang diperlukan telah disediakan termasuk perisian mencukupi untuk membolehka­n sambungan Internet dan sistem Wi-Fi yang kukuh di sekolah, tegasnya.

Beliau berkata, semua ini adalah infrastruk­tur untuk memastikan pelaksanaa­n yang lancar untuk membawa peralatan elektronik atau gajet ke sekolah untuk memudahkan pembelajar­an pelajar.

Bagaimanap­un, Lee tidak pasti bagaimana sekolah tanpa infrastruk­tur Wi- Fi akan melakukann­ya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia