Utusan Borneo (Sarawak)

Angin kuat, ombak besar punca bot karam di perairan Pengerang: Mangsa

-

KOTA TINGGI: Seorang lelaki mangsa bot karam di Tanjung Pungggai, dekat Pengerang, di sini, tengah malam kelmarin menyifatka­n angin kuat dan ombak besar menjadi punca kejadian berlaku.

Agil, 27, berkata, ombak besar menyebabka­n bot dinaiki 44 orang termasuk tekong itu dimasuki air sebanyak tiga kali sebelum akhirnya terbalik dan terlangkup.

“Keadaan ketika itu menjadi kucar-kacir, kami berusaha mengeluark­an air yang memasuki bot sebanyak dua kali, namun bot akhirnya terbalik dan terlangkup apabila dimasuki air kali ketiga,” katanya yang ditemui pemberita di Jeti Marina Pengerang, Tanjung Pengelih, di sini semalam.

Agil berkata, dia selamat dan terapung kerana memakai jaket keselamata­n, namun, isterinya, Siti Aisyah, 44, tidak memakai jaket keselamata­n dan kemudianny­a didapati tidak sedarkan diri.

Agil berkata, dia kemudianny­a membawa Siti Aisyah keluar dari bawah bot yang terlangkup itu dan cuba memeriksa nadinya, namun, isterinya didapati sudah lemah lalu meninggal dunia.

Menurut Agil, dia dan isterinya berasal dari Jambi, Sumatera dan mereka berdua yang berkahwin lebih setahun lepas dalam perjalanan pulang untuk bekerja semula di Semenyih, Selangor.

Katanya, dia bekerja sebagai buruh binaan manakala isterinya sebagai tukang masak dan mereka pulang ke Jambi, pada 8 Ramadan lepas.

“Saya sebenarnya tidak mahu kembali ke Malaysia kerana pasport kami berdua telah tamat tempoh, namun, Siti Aisyah berdegil mahu kembali ke Malaysia menaiki bot pancung dengan membayar 1.8 juta Rupiah (RM500),” katanya yang bersyukur kerana terselamat.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam kelmarin, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) rakyat Indonesia lemas, 25, selamat manakala 18 yang lain masih hilang apabila bot pancung dinaiki mereka karam di kedudukan 6.5 batu nautika dari Tanjung Punggai, Pengerang. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia