Utusan Borneo (Sarawak)

Seorang PATI lemas, 18 hilang bot pancung karam di perairan Pengerang

-

KOTA TINGGI: Seorang pendatang asing tanpa izin ( PATI) rakyat Indonesia lemas manakala 18 lain masih hilang apabila bot pancung dinaiki mereka karam di kedudukan 6.5 batu nautika dari Tanjung Punggai, Pengerang, di sini, tengah malam kelmarin.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) Johor Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12 tengah malam kelmarin ketika bot pancung dinaiki 44 orang termasuk tekong itu dalam perjalanan dari Batam, Indonesia untuk memasuki negara ini menerusi Tanjung Penawar, di sini.

“Kesemua 44 lelaki dan wanita itu berumur antara 20-an dan 40-an. Setakat jam 3 petang ini (semalam), daripada 44 orang itu, 24 lelaki dan seorang wanita disahkan selamat, seorang wanita mati lemas manakala 18 lagi masih hilang.

“Sembilan daripada yang selamat itu sudah dihantar ke Pusat Kesihatan Sungai Rengit, di sini, untuk rawatan,” katanya kepada pemberita di Jeti Marina Pengerang, di sini semalam.

Sanifah berkata, pihaknya dimaklumka­n mengenai kejadian pada 4.45 pagi tadi lalu operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian diaktifkan dengan melibatkan 144 anggota pelbagai agensi termasuk Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tentera Laut Diraja Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam.

Sanisah berkata, operasi mencari dan penyelamat melibatkan 12 aset laut dan turut dibantu sebuah heliko- pter APMM.

Katanya, terdahulu, APMM menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu dari sebuah pelantar minyak berhampira­n Tanjung Punggai yang menemui dua mangsa selamat selepas mereka berjaya berenang ke pelantar itu.

“Operasi pencarian melibatkan kawasan seluas 150 batu persegi Tanjung Punggai ke Tanjung Siang, di sini. APMM turut menghubung­i pihak berkuasa Singapura dan Indonesia bagi membantu pencarian,” katanya dengan menambah tekong bot antara mangsa yang masih hilang.

Menurut Sanifah, pihaknya percaya punca kejadian adalah disebabkan cuaca dan lebihan muatan, namun, siasatan lanjut mengenainy­a sedang dilakukan mengikut Akta Antipemerd­agangan Orang dan Antipenyel­udupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? SELAMAT: Anggota yang bertugas membawa mangsa bot pancung karam yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia dalam tragedi bot pancung karam di perairan Tanjung Punggai yang berlaku tengah malam kelmarin di Jeti Marina Tanjung...
— Gambar Bernama SELAMAT: Anggota yang bertugas membawa mangsa bot pancung karam yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia dalam tragedi bot pancung karam di perairan Tanjung Punggai yang berlaku tengah malam kelmarin di Jeti Marina Tanjung...

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia