Utusan Borneo (Sarawak)

Polis rampas tiga pokok ganja ditanam dalam reban ayam

-

BUKIT MERTAJAM: Polis merampas tiga pokok ganja yang ditanam dalam reban ayam di Tingkat Perusahaan 1, Perai di sini dan menahan lima lelaki dalam serbuan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu reban ayam itu kira-kira jam 7 malam dan menahan lima lelaki berusia 36 hingga 49 tahun.

“Hasil pemeriksaa­n awal atas meja yang terdapat dalam reban ayam itu, polis merampas satu peket ganja seberat 3.03 gram dan pelbagai peralatan untuk menghisap dadah. Mereka menjadikan reban ayam itu sebagai tempat menghisap dadah.

“Pemeriksaa­n lanjut polis, menemui tiga batang pokok ganja yang ditanam dalam baldi di dalam reban ayam berkenaan, setiap pokok itu panjang 208 sentimeter(cm), 92cm dan 77cm,” katanya di sini semalam.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan daripada mana mereka mendapatka­n benih pokok ganja itu sebelum menanamnya dalam reban ayam berkenaan.

Nik Ros Azhan berkata dua daripada lima lelaki itu positif dadah dan turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam perkembang­an lain katanya, polis menahan dua lelaki berusia 22 dan 24 tahun kerana terlibat dalam kegiatan curi motosikal di sekitar daerah SPT dalam serbuan di Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh dekat sini.

Beliau berkata pihaknya berjaya mengesan dua lelaki itu selepas mereka yang menaiki sebuah motosikal SYM Bonus yang dilaporkan dicuri bertindak memecut laju ketika cuba ditahan polis.

“Berlaku pergelutan sebelum polis berjaya menahan mereka kira-kira jam 11.30 malam tadi di flat bekenaan dan siasatan awal mendapati mereka terlibat dalam kegiatan curi motosikal sejak awal tahun ini,” katanya.

Katanya, mereka mencuri motosikal di sekitar pasar raya dan pusat beli- belah di SPT sebelum meleraikan komponenny­a serta menjual kepada pembeli dengan harga murah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia