Utusan Borneo (Sarawak)

Polis tahan suspek curi sarang burung walit

-

LUMUT: Bunyi alat penggera keselamata­n menggagalk­an cubaan tiga sekawan untuk mencuri sarang burung walit sebelum ditahan polis di Jalan Baru Ayer Tawar di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, DSP Chong Bhoo Khim berkata pihaknya menerima panggilan daripada pengusaha sarang burung walit berkenaan kira-kira 4 pagi.

“Polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati tiga lelaki berumur 18 hingga 38 tahun cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Perodua Kancil sebelum mereka berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaa­n menjumpai beberapa peralatan pecah bangunan antaranya segulung tali panjang, sebilah parang, satu pemotong besi dan satu mesin gerudi,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Chong berkata, seorang daripada suspek mempunyai lima rekod jenayah berkaitan dadah dan kesemua mereka dipercayai bergiat aktif melakukan aktiviti jenayah sejak tiga bulan lepas.

Menurutnya, hasil saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis syabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan curi.

Dalam kes berasingan, Chong berkata pihaknya menahan lima remaja berumur lingkungan 14 hingga 16 tahun dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal di Pantai Remis, kira- kira 6 petang Jumaat lalu.

Beliau berkata, seorang daripada suspek kemudian membawa polis ke sebuah kolam ikan di belakang sebuah rumah dipercayai lokasi untuk membuang rangka motosikal.

“Kita menemui tiga rangka motosikal jenis Honda EX5 yang dileraikan komponenny­a dan dipercayai komponen motosikal terbabit dijual dengan harga yang murah,” katanya.

Chong berkata kesemua suspek yang sudah tidak bersekolah tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Beliau berkata kelima-lima suspek terbabit ditahan reman sejak Sabtu lepas sehingga esok. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia