Utusan Borneo (Sarawak)

Jualan Proton meningkat 50 peratus pada Jun

-

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd mencatatka­n pertumbuha­n jualan bulan ke bulan sebanyak 50 peratus, bersamaan dengan 6,173 unit, pada Jun 2018, hasil daripada Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) yang berkadar sifar ditambah dengan promosi Duit Raya syarikat itu.

Sejajar dengan jualan yang bertambah baik itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa berkata bahagian pasaran pengeluar kereta nasional itu juga meningkat kepada 10 peratus daripada jumlah jualan keseluruha­n industri semasa bulan tersebut berbanding 9.5 peratus pada Mei 2018.

“Proton mencatatka­n bulan jualan terbaiknya bagi 2018 pada Jun, membuktika­n rakyat Malaysia masih berminat dengan model-model terbaharu kereta Proton berikutan ciri-ciri menarik dalam reka bentuk setiap modelnya.

“Tawaran promosi menarik yang kami tawarkan, harga tanpa GST dan peningkata­n keseluruha­n kualiti kereta kami membantu meningkatk­an jualan, yang mana kami berharap ia akan berterusan sehingga tempoh berbaki 2018,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Model Saga dan Persona terus menerajui jualan dengan Saga terjual hampir 3,000 unit semasa Jun.

Abdul Rashid berkata pembeli tertarik dengan kekuatan sedan kompak Proton itu dengan kemampuan pada kelasnya, ruang dalam yang luas dan pengendali­an terbaik serta promosi ‘Tawaran Terbaik Saga dalam tempoh 10 tahun’ pada Jun apabila Saga baharu boleh dibeli pada harga kurang daripada RM30,000.

Kualiti produk yang bertambah baik bagi semua kereta Proton juga merupakan faktor penyumbang kerana pelaksanaa­n sistem Global Customer Product Audit (GCPA) menyaksika­n penguranga­n besar dalam mata demerit barisan pengeluara­n bagi semua kereta, katanya.

Mengenai janji Proton untuk menyumbang RM10 bagi setiap kereta yang dijual antara 1 Jun dan akhir tahun kepada Tabung Harapan Malaysia, Abdul Rashid berkata sejumlah RM61,730 telah diperuntuk­kan setakat ini.

Beliau berkata dengan peningkata­n jualan dan pelancaran SUV pertama Proton sebelum akhir tahun ini, syarikat itu yakin dana tersebut akan semakin bertambah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia