Utusan Borneo (Sarawak)

Melanau memerlukan kekuatan majukan bangsa dalam bidang pendidikan: Leo

-

MIRI: Melanau memerlukan kekuatan sendiri untuk berdikari serta bersaing memajukan bangsa minoriti itu melalui bidang pendidikan.

Presiden Persekutua­n Persatuan Melanau Sarawak Tan Sri Dr Muhammad Leo Toyad berkata adalah penting masyarakat Melanau bersatu dan membantu satu sama lain.

“Bangsa Melanau perlu bergerak seimbang dengan kemajuan dan itu hanya dapat dilakukan jika mereka cemerlang dalam pendidikan serta menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Persatuan Melanau Miri di sini semalam.

Leo berkata, sejumlah 10 cawangan persatuan Melanau ditubuhkan di Sarawak menyaksika­n komuniti itu berhijrah ke kawasan bandar.

“Saya percaya jika komuniti Melanau memperkuku­h kerjasama dan menekankan bidang pendidikan maka generasi Melanau baharu mampu bergerak lebih jauh,” jelasnya.

Pada majlis itu, seramai 34 pelajar terdiri daripada anak ahli persatuan yang cemerlang dalam peperiksaa­n awam menerima insentif pendidikan.

Penerima terdiri daripada pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Pentaksira­n Tingkatan 3, Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolah­an Malaysia, pelajar jurusan diploma dan pelajar menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana.

Leo berkata insentif pendidikan diperkenal­kan sejak 1993 itu adalah sebagai inisiatif dan penghargaa­n kepada anak Melanau yang berjaya dalam pendidikan.

Beliau turut menyuntik dana sejumlah RM5,000 kepada persatuan untuk menyalurka­n insentif sama kepada pelajar lain yang cemerlang dalam pendidikan.

Pada majlis sama, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni mengumumka­n peruntukan RM20,000 untuk persatuan menganjurk­an aktiviti.

Ia adalah peruntukan khas yang diberikan kerajaan negeri kepada Ahli Parlimen Sarawak selepas perubahan kerajaan pusat.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii, Presiden Persatuan Melanau Miri Datuk Alexander Maiyor, Penasihat Persatuan Datuk Ahmad Lai Bujang dan pengerusi pengelola Kaunselor Abdullah Jaini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia