Rakyat harus berasa bertuah dengan nikmat pembangunan dibawa kerajaan
KUCHING: Rakyat Sarawak harus berasa bertuah dengan nikmat pembangunan dibawa Kerajaan Sarawak untuk kehidupan yang lebih sempurna, kata Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Batu Kawah Datuk Ahmad Ibrahim.
Menurutnya pada masa ini, rakyat Sarawak telah hidup dalam keadaan yang serba mencukupi tanpa apa- apa kekurangan sama ada dari segi makanan, pakaian mahupun tempat berteduh.
“Jika ada yang daif, yang ditimpa apa-apa malapetaka, ada sahaja bantuan dihulurkan oleh Kerajaan Sarawak kini dan masyarakat setempat.
“Malah sekiranya ada sebilangan kecil yang masih kurang bernasib baik kerana tidak dikesan, ini hanyalah tidak dimaklumkan kepada kami dan ketua-ketua masyarakat.
“Namun, mereka tetap akan mendapat bantuan daripada orang yang murah hati dalam masyarakat dan daripada kerajaan apabila keadaan mereka dilapor dan diketahui oleh pihak tertentu dan berwajib,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Gawai Raya di Kampung Telaga Air, di sini kelmarin.
Ahmad yang juga timbalan pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) turut menyeru rakyat Bumi Kenyalang terus berusaha mengekal dan memperkukuhkan toleransi antara satu sama lain demi memelihara keamanan dan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Katanya, banyak teladan yang membawa kepada kemusnahan masyarakat telah berlaku seperti di benua Afrika dan Timur Tengah di mana rakyatnya menjadi pelarian serta kebuluran.
“Oleh itu, semangat berkongsi perayaan sesama kita yang berbilang bangsa dengan saling berkunjung atau ‘ngabang’ harus dikekalkan.
“Dengan cara ini, kita dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain dan ini secara tidak langsung membasmi prejudis atau prasangka yang bukan-bukan sesama kita rakyat Bumi Kenyalang khususnya,” katanya.
Majlis yang dikunjungi lebih 1,000 orang itu turut dihadiri bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei Tan Sri Jamil Johari serta ketua-ketua masyarakat daripada 12 kampung di sekitar Telaga Air.