Utusan Borneo (Sarawak)

Wan Azizah nafi wujud dua kem dalam PKR

-

KAJANG: Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan wujudnya dua kem atau kumpulan dalam kalangan anggota parti itu melibatkan beliau dan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pemilihan parti pada Ogos ini.

Sebaliknya, Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata suaminya yang juga Ketua Umum parti itu serta anggota lain bergerak seiring dalam satu kem.

“Mana ada kem-kem, tak ada… kami satu kem,” katanya kepada pemberita sewaktu menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Kajang, di sini semalam.

Baru-baru ini Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution dilaporkan mendakwa wujud dua puak dalam parti dengan satu pihak mahu Dr Wan Azizah dikekalkan sebagai presiden manakala satu lagi mahu beliau berundur dan memberi laluan kepada Anwar, sebagai persediaan menggantik­an Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dakwaan itu turut diakui penganalis­is politik Dr Ainul Adzellie Hasnul yang dilaporkan oleh akhbar tempatan kelmarin bahawa keduadua kem berkenaan wujud dalam menghadapi pemilihan PKR.

Ditanya sama ada beliau akan mempertaha­nkan jawatannya dalam pemilihan parti Ogos nanti, Dr Wan Azizah berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincang­an.

“Sekarang saya adalah penyandang… (dan) pemilihan kali ini akan menjadi satu pemilihan yang sengit. Belum ada keputusan sama ada saya perlu bertanding atau tidak, jadi saya rasa (setakat ini) saya akan bertanding,” katanya.

Bagaimanap­un, katanya pencalonan adalah terbuka kepada mana-mana anggota parti untuk merebut sebarang jawatan berdasarka­n prinsip demokrasi. Mengenai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis susulan kematian penyandang­nya Mat Shuhaimi Shafiei pada Isnin lepas, Dr Wan Azizah berkata PKR sudah mempunyai senarai calonnya dan keputusan dijangka dibuat pada mesyuarat akan datang.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dua bulan lalu, Mat Shuhaimi, 50, yang mewakili PKR mengatasi calon BN, PAS dan PRM dengan majoriti 12,480 undi.

Suruhanjay­a Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas mengenai PRK Sungai Kandis hari ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia