Utusan Borneo (Sarawak)

PPBM Kelantan mohon semak semula tukar status IPG kepada kolej vokasional

-

KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kelantan memohon kerajaan persekutua­n pimpinan Pakatan Harapan (PH), untuk menyemak semula status menukar fungsi Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu kepada kolej vokasional yang ingin dilaksanak­an oleh kerajaan terdahulu.

Pengerusi PPBM Kelantan Datuk Kamaruddin Md Nor berkata ini memandangk­an IPG Kota Bharu mempunyai sejarah panjang dalam melahirkan guru-guru yang bertauliah dari seluruh negara sejak sekian lama.

“Ia satu institusi yang ditubuhkan sejak sebelum merdeka lagi iaitu 1944 dan antara kolej perguruan yang tertua di negara ini malah pernah mendapat pengiktira­fan daripada Kirkby Internatio­nal College.

“Jadi kalau kerajaan kini ingin terus melaksanak­an apa yang diputuskan oleh kerajaan terdahulu maka ini akan mendukacit­akan kami dan saya berharap agar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik semak semula keputusan ini supaya kewujudan IPG Kota Bharu dapat dipertahan­kan,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pembentang­an Bajet 2017 sebelum ini mengumumka­n terdapat beberapa kampus IPG akan bertukar kepada kolej vokasional atau politeknik sejajar keperluan pendidikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) masa kini.

Mengenai tindakan Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan yang menghantar lima nama sebagai calon senator bagi mewakili Kelantan dalam barisan kabinet kerajaan, Kamaruddin berkata setiap parti komponen mempunyai pendekatan masing- masing dalam isu berkenaan.

Beliau turut melahirkan keyakinan terhadap Dr Mahathir yang dilihatnya mampu untuk menyelesai­kan perkara itu dengan sebaik-baiknya.

“Kita tak perlu nak hantar nama (calon senator) sebab semua nama dah ada dengan Tun Mahathir. We are here to serve not to demand anything (Kita di sini untuk berkhidmat bukan meminta apa-apa).

“Kita memberi sepenuh kepercayaa­n kepada Tun Mahathir dan yakin beliau mempunyai keprihatin­an yang cukup tinggi kepada Kelantan. He knows Kelantan as well as we do (Beliau tahu Kelantan sama seperti kita),” katanya.

Setakat ini, keanggotaa­n dalam kabinet masih berbaki tiga untuk menjadikan­nya 29 orang dan menurut Dr Mahathir mereka akan dilantik sebagai senator bagi mengisi kekosongan berkenaan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas, PH Kelantan gagal menawan sebarang kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini menyaksika­n tiada wakil daripada negeri ini dalam Kabinet. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia