Utusan Borneo (Sarawak)

Bursa Malaysia diniagakan rendah Ketegangan perdaganga­n antara dua ekonomi terbesar dunia semakin serius

-

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka diniagakan rendah minggu ini sejajar dengan prestasi pasaran saham global berikutan pelabur terus berhati-hati mengenai ketegangan perdaganga­n AS-China yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata ketegangan perdaganga­n antara dua ekonomi terbesar dunia itu semakin serius dan boleh menyebabka­n pusingan kedua perang tarif bernilai AS$50 bilion pada bila-bila masa.

“Kami menjangka pasaran rendah dengan sokongan pada 1,660 manakala halangan pada 1,700,” katanya kepada Bernama.

Pusingan pertama penguatkua­saan tarif AS ke atas import China bernilai AS$34 bilion bermula kelmarin dan Beijing memberi respons dengan mengenakan kadar tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan AS, bersamaan dengan kadar Washington ke atas import China.

Di peringkat tempatan, Nazri Khan berkata asas dan data teknikal pasaran saham kekal lemah dengan banyak berita yang keluar tidak menggalakk­an pelabur asing datang.

“Terdapat banyak cerita (yang) keluar yang kita tidak pernah dengar sebelum ini dan banyak lagi. Sebahagian­nya mengejutka­n pelabur,” katanya.

Beliau berkata aliran keluar asing berterusan pada minggu ini selepas wujud perubahan pada minggu lepas berikutan pelabur asing terus mengambil pendekatan berhati-hati.

“Tiada petunjuk dana asing akan mengukuh,” katanya.

Bagi minggu baharu berakhir, bursa tempatan diniagakan kebanyakan­nya rendah, menjejaki bursa serantau, berikutan sentimen berhati-hati susulan ketegangan perdaganga­n global.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI susut 27.65 mata kepada 1,663.86 daripada 1,691.5 pada minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas jatuh 161.94 mata kepada 11,798.99 dan Indeks FBMT100 susut 162.69 mata kepada 11,595.24.

FBM 70 merosot 92.35 mata kepada 14,534.71 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 129.25 mata kepada 121,963.3.

FBM Ace naik 106.65 mata kepada 5,234.18.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 309.01 mata kepada 16,340.9, Indeks Perladanga­n jatuh 112.78 mata kepada 7,421.38 dan Indeks Perusahaan berkuranga­n 39.91 mata kepada 3,087.62.

Jumlah dagangan ming- guan meningkat kepada 10.05 bilion unit bernilai RM8.36 bilion daripada 9.70 bilion unit bernilai RM10.52 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 5.99 bilion saham bernilai RM7.01 bilion daripada 5.90 bilion saham bernilai RM9.53 bilion.

Jumlah dagangan waran susut kepada 2.64 bilion unit bernilai RM817.89 juta daripada 2.75 bilion unit bernilai RM814.09 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 1.40 bilion saham bernilai RM290.52 juta daripada 2.58 bilion saham bernilai RM178.25 juta. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia