Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga NGO Labuan sokong langkah banci individu tidak bernegara

-

LABUAN: Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengambil pendirian menyokong penuh langkah Gabungan NGO Negeri Sabah (GANNOS) menjalanka­n bancian terhadap kira-kira 800,000 individu di Sabah dan Labuan yang mendakwa mereka adalah orang tak bernegara atau tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

NGO berkenaan ialah Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Etnik Labuan, Persatuan Penduduk Taman Mutiara Labuan dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan India Labuan.

Ketua kumpulan itu, Asroh Sukardi, berkata terdapat sejumlah besar individu, termasuk murid sekolah, bukan sahaja di Sabah, tetapi juga di Labuan, yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri, walaupun ibu bapa mereka memiliki dokumen perjalanan sah seperti kad pengenalan.

“Persatuan kami didatangi banyak orang yang mendakwa mereka adalah individu tak bernegara berikutan kenyataan dikeluarka­n GANNOS baru-baru ini tentang isu individu tak bernegara dan kami rasa kami dapat ketengahka­n perkara ini bersama- sama GANNOS bagi membantu menyelesai­kan isu yang sudah lama berlarutan ini,” katanya kepada Bernama semalam.

Asroh berkata banyak juga murid sekolah yang hanya memiliki sijil kelahiran tanpa status kewarganeg­araan kerana perkahwina­n ibu bapa mereka tidak didaftarka­n dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JAHEINS) atau kerana ibu mereka bukan warganegar­a Malaysia.

“Jumlah sebenar kelu- arga yang sedang menghadapi keadaan sedemikian tidak dapat dipastikan, tetapi kami percaya jumlahnya memang tinggi dan kami bersedia berganding bahu dengan GANNOS untuk membuat bancian terhadap individu yang tidak memiliki dokumen di Labuan,” katanya.

Pada 22 Jun, GANNOS mengeluark­an kenyataan tentang langkahnya menjalanka­n bancian yang melibatkan penyertaan 29 persatuan bersekutu dengannya mulai 23 Jun di tujuh zon - Pantai Barat Laut, Pantai Barat Daya, Pedalaman Hulu, Pedalaman Hilir, Labuan, Sandakan dan Tawau.

Sebagai permulaan, pasukan petugas banci itu akan mengumpul hanya 10 sampel (individu tidak memiliki dokumen diri) di setiap daerah.

Mereka diberi tempoh seh- ingga 15 Julai untuk mengembali­kan borang soal selidik atau bancian kepada sekretaria­t berkenaan. Laporan tentang bancian itu akan difailkan dan dikemukaka­n kepada kerajaan negeri dan persekutua­n.

Banci itu diadakan bagi membantu orang ramai dan kerajaan untuk menyelesai­kan isu berkenaan.

“Kami tidak mahu melihat, contohnya, selepas 20 tahun, Sabah masih dipenuhi manusia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” kata Presiden GANNOS Datuk Nani Sakam.

Beliau berkata sebuah jawatankua­sa pemantauan dan disiplin juga ditubuhkan bagi menghalang pihak tidak bertanggun­gjawab mengambil kesempatan daripada bancian yang dijalankan itu, termasuk memeras wang daripada orang ramai. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia