Utusan Borneo (Sarawak)

Polis mohon lanjut tempoh reman suspek utama kes Adam Rayqal

-

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia ( PDRM) akan membuat permohonan melanjutka­n tempoh tahanan reman daripada mahkamah hari ini ke atas suspek utama kes kematian bayi lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata permohonan reman berkenaan bagi melengkapk­an siasatan yang hanya akan memfokuska­n kepada pengasuhny­a sahaja.

Menurut beliau seorang lagi suspek iaitu rakan serumah pengasuh itu mungkin akan dibebaskan daripada tahanan reman sekiranya tidak dapat membantu siasatan.

“Siasatan kes ini sudah siap dalam 90 peratus dan akan dilengkapk­an sepenuhnya secepat mungkin serta (dijangka) akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya dalam minggu ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri di Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din dan beberapa ketua polis daerah.

Pada 4 Julai lalu dua suspek yang berusia 33 dan 36 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh bayi lelaki berusia lima bulan yang ditemui mati di rumah pengasuhny­a di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves.

Pada Selasa lepas, Adam Rayqal dilaporkan hilang dari rumah pengasuhny­a di Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini sebelum mayatnya ditemukan oleh anggota polis di dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah sama lewat malam hari kejadian.

Susulan itu, pengasuhny­a dan seorang lagi wanita ditahan pada hari sama dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian bayi berkenaan.

Hasil bedah siasat pakar forensik Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian Adam Rayqal adalah akibat pendarahan dalaman di bahagian otak dengan kesan retak di bahagian tempurung kepala. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia