Utusan Borneo (Sarawak)

Pegawai kanan SPRM didakwa memberi maklumat palsu

-

SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan memberi maklumat palsu kepada dua kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pada Disember tahun lepas.

Bekas pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthak­an Harta (AMLFOP), Fikri Ab Rahim, 43, mengaku tidak bersalah selepas keduadua pertuduhan dibacakan terhadapny­a di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Beliau didakwa memberi maklumat palsu di butiran nama pasangan dalam borang maklumat peribadi, Bahagian Pengurusan Pen- guatkuasaa­n JAIS, kepada kakitangan jabatan agama itu, Fatin Afikah Mohamad Mustapa, 28.

Fikri didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat JAIS, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, Seksyen 5 di sini, kira-kira jam 4 pagi pada 16 Dis 2017.

Beliau juga didakwa melakukan kesalahan sama kepada seorang lagi kakitangan JAIS, Mariah Mukhyuddin, 26, di tempat, masa dan tarikh sama.

Pendakwaan bagi keduadua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 177 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Raja Noor Adilla membenarka­n Fikri dibebaskan dengan jaminan RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 6 Ogos depan untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalik­an oleh Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin sementara pegawai SPRM tersebut diwakili peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin.

Pada 3 Mei lepas, Fikri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling atas tuduhan berkhalwat dengan seorang kakitangan SPRM di sebuah kondominiu­m di Seri Kembangan dekat sini, pada Disember tahun lepas. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia