Utusan Borneo (Sarawak)

Najib selesai membayar baki jaminan RM500,000

-

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgu­nakan jawatannya berhubung dana SRC Internatio­nal Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, semalam melunaskan baki bayaran jaminan berjumlah RM500,000.

Bayaran itu dibuat dua anak Ahli Parlimen Pekan itu, Nooryana Najwa dan Norashman yang tiba tepat jam 10.04 pagi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini. Turut hadir menantu Najib, Daniyar Kessibayev yang merupakan suami Nooryana Najwa.

Sebaik tiba, Nooryana Najwa dan Norashman yang hadir sebagai penjamin, dilihat terus ke bahagian Pendaftara­n Jenayah Mahkamah Tinggi di tingkat satu, sebelum Najib diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor tiba pada jam 11.43 pagi dan masuk ke bilik sama untuk menandatan­gani dokumen berkaitan jaminan.

Selesai urusan itu, Najib, yang akan genap usia 65 tahun pada 23 Julai, keluar dari bilik dan menerima ‘Tabung Solidariti Bebaskan Najib’ daripada Ketua Sekretaria­t Solidariti Najib Razak, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berjumlah RM489,166.

Tidak lama kemudian Najib bersama Rosmah beredar menaiki kenderaan pelbagai guna MPV Toyota Vellfire berwarna putih dan perdana menteri keenam itu yang kelihatan ceria sempat melambai ke arah penyokongn­ya yang turut melaungkan kalimah ‘Allahuakhb­ar!’, hidup Najib!’ dan ‘bebaskan Najib!’.

Rabu lepas, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgu­nakan jawatan- nya, berhubung dana SRC Internatio­nal Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membenarka­n Najib diikat jamin RM1 juta dalam bentuk tunai dan turut membenarka­n Najib membayar jaminan itu secara ansuran sehingga Isnin (9 Julai) selain menetapkan 8 Ogos bagi pengurusan kes itu.

Pada hari itu, Norasman dan Nooryana Najwa, membayar wang jaminan RM500,000, separuh daripada jumlah RM1 juta dan memberi perakuan akan melunaskan bakinya sebelum jam 3 petang semalam.

Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Advisor Emeritus SRC Internatio­nal Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti itu diamanahka­n dengan pengua- saan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa atas pertuduhan sama melibatkan jumlah RM5 juta wang milik SRC di tempat dan tarikh sama manakala bagi pertuduhan ketiga, Najib dituduh melakukan kesalahan sama membabitka­n wang SRC berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen serupa.

Bagi pertuduhan keempat, Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunaka­n jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pin- jaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadan­kan) kepada SRC Internatio­nal Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutua­n Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut manamana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Najib mengucapka­n terima kasih kepada anggota UMNO dan rakyat yang ikhlas menyumbang kepada tabung solidariti berkenaan.

“Diharap dengan restu mereka semua, saya dan keluarga dapat melalui ujian besar ini,” katanya selepas urusan membayar jaminan itu selesai.

Mohd Razlan pula berkata sumbangan turut diterima daripada warga asing. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? BAYAR JAMINAN: Nooryana dan Norashman hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam sebagai penjamin bagi membayar baki jaminan berjumlah RM500,000 yang dikenakan terhadap bapa mereka, yang menghadapi tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu...
— Gambar Bernama BAYAR JAMINAN: Nooryana dan Norashman hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam sebagai penjamin bagi membayar baki jaminan berjumlah RM500,000 yang dikenakan terhadap bapa mereka, yang menghadapi tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu...

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia