Utusan Borneo (Sarawak)

Empat individu ditahan, dadah bernilai lebih RM1 juta dirampas

-

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan dan tiga wanita warga Vietnam serta merampas pelbagai jenis dadah dianggarka­n bernilai lebih RM1 juta di sebuah kondominiu­m di Jalan Galloway, di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kesemua suspek berusia 23 hingga 35 tahun itu ditahan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur kira-kira jam 7.20 malam.

“Ketika serbuan kesemua suspek sedang membungkus bekalan dadah untuk dimasukkan ke dalam paket serbuk minuman seperti jus limau sebelum dihantar ke pusat hiburan.

“Pemeriksaa­n di dalam rumah itu membawa kepada penemuan serbuk ecstasy seberat 12.699kg, 80 biji pil ekstasi, 90 pil eramin 5 serta ketamin,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini semalam.

Beliau berkata siasatan mendapati bekalan dadah yang dirampas diperoleh daripada luar Lembah Klang.

“Bekalan yang dirampas dipercayai untuk kegunaan 40,000 pengguna dan kumpulan ini dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lepas,” katanya.

Mazlan berkata kumpulan ini memasukkan dadah ke dalam peket serbuk minuman untuk mengelak daripada aktiviti mereka dikesan polis.

“Mereka kemudianny­a menggunaka­n orang tengah yang akan bertemu pengurus pusat hiburan untuk membawa masuk bekalan dadah kepada pelanggan.

“Dadah itu akan dimasukkan ke dalam ‘minuman ringan’ dan ada antara pelanggan tidak mengetahui minuman mereka telah dicampur dadah,” katanya.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia