Utusan Borneo (Sarawak)

JBPM tidak bercadang hantar pasukan penyelamat ke Thailand

-

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak bercadang untuk menghantar pasukan penyelamat­nya bagi membantu misi menyelamat sekumpulan pelajar lelaki dari pasukan bola sepak yang terperangk­ap dalam gua yang dilanda banjir di Chiang Rai, bahagian utara Thailand.

Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan Wahid berkata, bagaimanap­un pihaknya sedia memberi khidmat bantuan berbentuk nasihat berkaitan penyelaman jika diperlukan.

“Kita (JBPM) setakat ini tidak ada dipohon bantuan kerana saya percaya mereka (kerajaan Thailand) ada keupayaan mereka sendiri serta bantuan yang sudah diterima namun kita boleh memberi nasihat dari segi penyelaman.

“Kita juga tidak tahu karakter dan juga ‘ topography terrace’ gua tersebut, jadi amatlah mustahil untuk kita terlibat secara langsung kerana saya lihat komplikasi amat tinggi dan difahamkan kawasan tersebut hanya orang tempatan sahaja tahu.

“Kita khuatir jika kita hantar pegawai... mereka tidak tahu bentuk gua itu dan ia akan mendatangk­an kemudarata­n,” katanya.

Mohammad Hamdan berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media dalam lawatan kerja rasmi beliau ke JBPM Perak di dewan serba guna ibu pejabat JBPM di sini semalam.

Baru-baru ini, bekas anggota Tentera Laut unit Seal Thailand, Saman Kunan maut ketika operasi menyelamat 12 budak lelaki, berusia antara 11 dan 15 tahun, dan seorang jurulatih berumur 25 tahun di gua Tham Luang dekat sempadan Thai-Myanmar.

Sehingga kelmarin, empat daripada sekumpulan budak lelaki yang terperangk­ap selama lebih 16 hari itu telah dapat dikeluarka­n dengan selamat dan kini menerima rawatan perubatan di sebuah hospital wilayah terdekat.

Satu-satunya cara untuk mendekati mangsa ialah dengan menyelam ke dalam air yang keruh dan berenang selama lima hingga enam jam untuk melakukan perjalanan sejauh 1.7 kilometer di bawah permukaan air. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia