Utusan Borneo (Sarawak)

Banduan bolos dari penjara PNG, empat dibunuh

-

SYDNEY: Empat ditembak mati dan dua lagi tercedera semasa cuba melarikan diri dari penjara di Papua New Guinea, menurut laporan semalam, di mana sembilan banduan masih dalam buruan.

Beberapa banduan melarikan diri dari penjara Buimo di bandar kedua terbesar Lae di negara Pasifik selepas sebilah pisau dikatakan diseludup masuk ketika waktu melawat Sabtu lepas.

Seorang pengawal ditikam dan banduan memanjat pagar penghadang, lapor PNG Post Courier.

Ia merupakan penjara yang sama di mana 17 banduan dibunuh polis selepas cuba melarikan diri pada Mei tahun lepas.

Seramai 57 telah meloloskan diri dalam kejadian itu.

Ketua Pesuruhjay­a Lae Anthony Wagambie Jr meyatakan pihak polis mendapat maklumat mengenai kemungkina­n kejadian melarikan diri dari penjara dan mengerah dua kenderaan peronda ketika amaran kecemasan berbunyi.

“Banduan yang melarikan diri bertembung dengan kenderaan peronda dan mula melontar batu, kayu dan objek tajam,” beliau memberitah­u pihak akhbar.

“Pihak polis melepaskan tembakan ke arah mereka, membunuh dua orang sertamerta, yang ketiga jatuh pengsan berhampira­n akibat kehilangan darah yang banyak dan banduan keempat ditembak mati tidak jauh dari kawasan penjara.”

Masih belum jelas pensabitan ke atas para banduan tersebut, namun banduan yang melarikan diri tahun lepas kebanyakan­nya menjalani hukuman atas rompakan bersenjata, mencuri kereta, dan memecah masuk serta menceroboh.

Jenayah dan keadaan tidak mematuhi undang-undang berleluasa di PNG, negara luas di mana ramai masih hidup dengan cara tradisiona­l dan gaya sara hidup di kawasan terpencil.

Penjara di negara ini yang dijangka menjadi tuan rumah persidanga­n ketua- ketua APEC tahun ini, selalunya terlalu penuh, dengan banduan terpaksa mengalami keadaan sanitari yang kurang baik. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia