Utusan Borneo (Sarawak)

Tukang masak didenda intai wanita menyusu anak

-

KUALA LUMPUR: Seorang tukang masak didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana mengintai seorang wanita yang sedang menyusukan anaknya di sebuah pusat beli-belah.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhi hukuman itu terhadap Chow Chee Yeep, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja melakukan perbuatan yang mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 35 tahun dengan cara mengintain­ya ketika menyusukan anak.

Mahkamah juga memerintah­kan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam bilik menyusu The Gardens, Mid Valley di sini pada jam 6.45 petang, 7 Julai lepas, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noor Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

Di mahkamah sama, seorang penganggur, Muhammad Azim Naim Mohd Azmi, 27, dihukum penjara satu hari dan denda RM1,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dua helai baju T bernilai RM73.40.

Mahkamah turut memerintah­kan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan, sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda.

Muhammad Azim Naim melakukan perbuatan tersebut di sebuah butik di Pavilion, Jalan Bukit Bintang, di sini pada jam 4.30 petang, 7 Julai lalu, mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda atau penjara maksimum 10 tahun. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia